Jemput semua sahabat untuk hadir menonton teater AYAH yang akan dipersembahkan esok. Teater ini adalah arahan Saya sendiri.. Insyaallah. Masuk adalah percuma



HILANG NORMA PEDULI
Oleh : Hamli Hamdan, Presiden PAFI

Sebagai seorang muslim yang mengaku dirinya sebagai seorang muslim, adalah menjadi satu perkara yang wajib untuk mengambil tahu dan ambil berat tentang nasib yang menimpa masyarakat dan komuniti pada masa kini. Isu isu yang berkaitan dengan kebejatan sosial dan juga isu yang kurang difahami oleh masyarakat terutamanya yang berkaitan dengan komuniti terpinggir perlu diberikan lebih perhatian. Kaedah menghukum secara membuta tuli tanpa memahami psikologi mereka yang berhadapan dengan isu tersebut sudah amat tidak relevan lagi dalam kaedah penyampaian dakwah. Sedangkan dalam Islam sendiri amat mementingkan method penyampaian dakwah dalam suasana yang harmoni dan kesederhanaan.

Ramai antara kita yang suka digelar sebagai ikhwan yang peduli terhadap nasib yang menimpa pada umat Islam dan juga masyarakat. Tapi ramai juga yang sekadar menjadi juara di mesin taip dan butang butang ABC di telefon pintar masing masing sedang urusan yang berkaitan dengan turun ke lapangan diberikan kepada insan lain.

Inilah masalah yang melanda ummah kita pada masa kini apabila sindrom kurang peduli melanda masyarakat. Mereka mengharapkan dengan hanya menaip status dan tulisan tulisan yang ke arah tarbiah dengan menggunakan ayat ayat arab dan bahasa yang boombastik akan mengubah komuniti.

Bagaimana dengan pekerja seks? Pengguna dadah? Mereka yang tergolong dalam golongan gelandangan yang pastinya tidak mempunyai akses kepada pembacaan begini? Bagaimana pula yang sangat memerlukan pertolongan untuk berjumpa secaa face to face terutamanya bagi mereka yang dijangkiti HIV contohnya untuk mendapatkan sokongan moral? Bagaimana kita bisa mengatakan hanya akan membantu dengan menggunakan email ataupun hanya melalui laman sosial seperti Facebook dan mengelak untuk menjalankan dakwah bersemuka kerana sibuk dengan perkara duniawi?

Bagaimana kita bisa mendabik dada dengan mengatakan bahawa kita telah berjuang dan berdakwah sehabis mungkin sedang kita tidak berkorban sedikitpun untuk komuniti dan masyarakat? Rasululullah S.A.W dan sahabat berjuang hingga habis hartanya, yang cacat, buta, putus tangan, terpaksa meminggirkan hal keluarga dan bermacam macam lagi hanya untuk menyampaikan dakwah. Tapi kita hanya selesa duduk di depan kipas, di dalam bilik berhawa dingin dan kita sudah dengan bangga memberitahu bahawa aku telahpun berjuang.

Jika tahap pemikiran kuta bejuang hanya dengan cara begini tanpa ingin sedikitpun menginfaqkan apa yang dimiliki oleh kita, jangan sesekali kita rasa kita sudah buat sesuatu untuk membantu saudara kita yang sedang kelaparan di lorong lorong, yang berada di rumah menangisi kerana tiada sebutir beras hendak di makan, anak anak yang buta huruf waima mengenal Al Fatihah menjadi satu masalah sedangkan perlu untuk menunaikan solat.

Bagaiman lagi hendak kita tanamkan dalam pemikiran generasi kini bahawa isu isu yang berkaitan dengan komuniti terpinggir ini sangat penting hinggakan ia akan menentukan tahap manakah masyarakat kita akan berada satu masa nanti.

Ayuh muslimin muslimat saudaraku semua.. Pohon peduli dengan nasib masyarakat dan komuniti. Bermulalah dengan turun ke lapangan membantu NGO NGO yang memperjuangkan isu dan agenda yang berkaitan dengan pembangunan komuniti terpinggir


Hamli Hamdan
Presiden
Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI)

10 September 2013