Assalamualaikum w.b.t. Dalam menjalankan kerja dakwah dan amal masyarakat, banyak sungguh mereka yang terjun dalam bidang gerakan ini dan terus automatik menjadi seorang Ustaz Ustazah tanpa perlu menjadi mereka yang mahir dalam bidang ini. Bila disebut tentang ini alasan yang paling utama ialah semua orang berhak bercakap tentang agama kerana semua orang itu beragama Islam dan pastinya mereka lebih mahir tentang agama berbanding mereka yang bukan beragama Islam. Ada pada satu ketikanya juga oleh kerana merasakan telah diberikan hidayah oleh Allah dan berhijrah maka ini membolehkan mereka memberikan pelbagai dalil bagi menyokong hujah mereka dengan memetik beberapa ayat ayat Al Quran dan juga hadith dari Rasululullah s.a.w. Perkara ini telah lama saya perhatikan sejak terlibat dalam bidang amal kebajikan masyarakat berlandaskan NGO yang berprinsipkan Islam sebagai teras perjuangan.

Ada juga pendakwah amatur yang merasakan mereka mempunyai kekuatan berhujah dan Allah telah berikan kelebihan ini kepada mereka hingga apa sahaja yang mereka katakan akan diperakui oleh pendengar. Betul atau salah itu soal kedua asalkan mereka tidak dimalukan di khalayak ramai atau lebih kecilnya di khalayak pengikut di laman sosial seperti Facebook. Biasalah tu, kadang kadang saya sendiri berhadapan dengan perkara ini dan saya sering mengambil jalan untuk menerima pendapat orang lain tanpa perlu membantah apa yang telah diperjuangkan oleh mereka yang memberikan komentar terhadap apa yang dilontarkan.

Adakah dengan mengalah beerti kalah bagi seorang pendakwah yang berhadapan dengan pelbagai kerenah dari umum? Kalau setakat orang awam mungkin perkara ini tidak menjadi luar biasa pada pendapat saya. Tapi yang menjadi luar biasa ialah provokasi yang datang dari kalangan mereka yang melakukan kerja amal / pendakwah / daie ini kepada sesama daie. Perkara ini saya melihat dari aspek mereka cuba menguji sejauh mana bagus dan hebatnya sahabat Daie yang lain dan dengan ini memberikans kepuasan bila melihat Daie yang satu lagi mungkin terkebil kebil memberikan penjelasan ataupun melihat Daie tersebut sebagai seorang yang kalah dan tak cukup ilmunya. Perasaan bangga diri akan menyelinapi dalam diri seorang pendakwah yang ingin melihat pendakwah lainnya tidak berkeupayaan. Merasakan apa yang diperjuangkan olehnya lebih baik daripada yang diperjuangkan oleh Daie yang lain. Maka timbullah permusuhan dan pandangan serta lontaran idea dan kata kata yang sinis kepada daie yang lainnya.

Seumpama bagai susah untuk menyelusuri apa yang diperjuangkan oleh sesama Daie apabila ada sifat ini. Saya melihat dari banyak sudut apabila membaca dan menonton aksi Daie mengecam Daie lain dengan tujuan menguji ilmu sedangkan mereka sendiri tahu sifat itu menonjolkan rasa ujub, bongkak dan riak dalam diri mereka. Apalah salahnya kalau kita saling menyantuni usaha yang dilakukan oleh Daie lain dengan memberikan sokongan. Jika ada salah dan silap atau ingin ditegur kenapa tidak dilakukan dengan cara berbincang dan sama sama memberikan pandangan bila bertemu. Lebih baik bila ada usaha saling bantu membantu untuk sama sama memartabatkan agama Allah ini. 

Bagi saya jika boleh Daie yang mungkin dipandang sinis oleh Daie lain yang sinis terhadap usaha anda dalam kerja agama, lebih baik mengalah sahaja dan teruskan kerja anda yang anda percaya kerana pastinya anda akan tahu apa yang anda perjuangkan sekiranya terus belajar dan belajar. Sedangkan Rasululullah s.a.w sendiri bertanya pendapat para sahabat sekiranya ianya selain dari Firman Allah s.w.t. apatah lagi kita ini yang hanyalah menyambung kerja kerja dari sahabat sahabat terdahulu.

Catatan : ”Barangsiapa yang merendahkan diri, maka Allah akan mengangkat derajatnya. Dan barangsiapa yang sombong, maka Allah akan merendahkanya.” ... ”Barangsiapa yang mengagungkan dirinya dan sombong dalam cara jalanya, maka dia akan menemui Allah, sedangkan Allah akan murka padanya.” (HR. Ahmad).


Arm Ly
(Dinamakan Hamli Bin Saadiah)
19 Ogos 2014

www.mahabbahfillah.com

Dunia ini bukan semestinya indah
Kadangkala kita gundah
Adakala hingga punah ranah
Hanya kedengaran desah resah
Bila hati tak ditarbiah

Kadang jatuh ku redahi jua
Walaupun hingga ke hujung dunia
Ketenangan itu tak kunjung tiba

Pelukan cintaMu kadang terasa jauh
Hingga buat aku mengeluh
Adakah aku ditinggalkan menjauh..

Bila hati tak tercantum dengan Cinta
Aku umpama bangkai bernyawa
Jika tidak kau berikan cahaya
Kemanakah kaki ini mengarah..

Jangan kau biarkan aku dalam mengah..
Setelah kau beri hidayah..
Aku tak mahu mengalah..
Selagi degup qalbu yang tak lelah

Dalam setiap detik nafas cintaku..
Ketagih pelukan cintaMu..

Armly
(Dinamakan Hamli Bin Saadiah di Loh Mahfuz)
14 Ogos 2014
www.mahabbahfillah.com

Dunia ini pastinya akan lebih indah jika sekiranya aku memahami bahawa aku memang ditakdirkan untuk mengembara di alam yang luas ini. Dalam kembara untuk aku lebih mengenali siapa penciptaku. Masa untuk aku bermujahadah menilai kembali penciptaku. Pastinya ia lebih mudah kerana aku memang dilahirkan sebagai seorang muslim sejak dari lahir. Tidak seperti Nabi Ibrahim a.s yang melihat bulan, melihat alam, melihat matahari dan mencari cari memandang makrifat sebenar siapakah Dia pencipta alam ini. Tapi nyatanya walaupun setelah diberikan petunjuk dan jalan, namun bukan semudah itu kita menjadi insan yang bersyukur. Mungkin mudah menjadi seorang yang sabar tapi amat susah untuk kita menjadi insan yang bersyukur dan ikhlas.

Pernah aku ditebak persoalan sejauh mana keikhlasan yang telah aku zahirkan melalui segala yang aku lakukan selama ini. Adakah ianya sekadar kebertanggungjawaban aku sebagai seorang muslim yang menjumpai hidayah tatkala merasa amat lewat menerimanya. Allah, amatlah sukar untuk aku sendiri menilai keikhlasan yang ada di dalam hati ini. Sehingga aku sendiri pun masih was was dengan diri ini.

Betapa besar dan betapa kuatkah nilai cintaku padaNya? Adakah aku hanya bersandiwara dengan kopiah dikepala, berjubah putih dan berkain rida' dalam seharian hidupku. Atau sekadar cukup aku menjadi seorang manusia yang terpekik terlolong menjadi pejuang agama yang masih tidak mengenal diriku. Sering cuba untuk memangkah nafsu yang semakin memerit akhirnya tewas dalam pertempuran yang entahkan bila akan berpenghujung.

Sering sahaja aku melihat mereka mereka itu menjadi pejuang kalam Allah yang hebat hingga aku tertanya setakat manakah aku mampu untuk menjadi pejuang kalam Illahi? Sedang ketika paginya aku berjuang menegakkan kalam Illahi akhirnya kian dinihari mulai menjauhi. Ini bukan lah satu perkara yang boleh dibuat main kerana walaupun bukan munafik iktikad tapi hakikatnya kita semakin selesa dengan gelaran munafik amal.

Rasulullah bersabda : "Ya Allah aku harapkan rahmatMu.. Janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku walau sekelip mata"

Dan begitulah hakikatnya aku akan menyesali diri betapa aku tidak pandai menjaga diri.. Sekadar berdiri, menyesali diri dan dimamah tarikh tamat kini. Hakikatnya kita akan snetiasa berkirsisis dengan diri dan mencari cari apa yang hakikatnya menjadi kekosongan dalam jiwa. Mencari dimana Al syafie, dimana Al Ghazali tapi dimana mana ada pula Azazil.

Gelap... Memerah... Nun dihujung sana ku lihat sesosok tubuh yang menunggu begitu ramai insan yang sedang menyelusuri jambatan ini. Ada yang berlari, ada yang merangkak, ada yang berjalan.... Terpinga dalam kekalutan, baru tadi aku bermanifestasi dengan diriku tentang Aku dan Dia. Belum lagi Allah, aku belum sempat lagi dalam perjuanganku, aku belum lagi menjumpai dimana itu IKHLAS.. Aku terdesak dengan cinta dunia dan cinta fana. Aku masih lagi belum memulakan langkah kaki ini, harus bagaimana aku hendak melangkah ke titian ini..

Serasa aku ditolak kasar dengan jeritan JALANNNNNN!!!... Allah... belum lagi Allah.... belum lagi Allah....

ALLAH!!!

Aku menggosok mata pedih.. Terjaga dari lena. Simulasi diri selepas mati, saat segalanya tiada dan yang ada hanyalah aku dan Allah yang memegang nasib diriku.

Allah doesnt expect you to be perfect. He expects you to try your best to be as close as you can to perfection

Arml Ly
(Dinamakan Hamli Bin Saadiah di Loh Mahfuz)
8 Ogos 2014
www.mahabbahfillah.com

Assalamualaikum w.b.t. Sebenarnya agak lama sangat saya telah dijemput oeh aktivis yang sngat dikenali dengan golongan asnaf orang asli di sekitar Selangor iaitu Encik Azlan Sharif untuk menyertai program yang dijalankan oleh beliau. Namun disebabkan banyak sangat kekangan masa disamping saya sendiri yang banyak menguruskan jemaah PAFI maka amat lah susah untuk saya cari masa nak menyertai beliau. Sebelum ini ada juga saya menyertai program yang melibatkan kumpulan orang asli di Pulau Indah di Klang namun untuk program di Pulau Ketam ini adalah yang pertama saya sertai untuk menunjukkan sokongan terhadap semua program yang dijalankan oleh Encik Azlan. 

Jadi pada 12 Julai 2014 pada musim Ramadhan 1435 yang lalu saya ambil keputusan untuk menyertai beliau disebabkan ketika bulan itu saya sedaya upaya mengosongkan jadual pada tarikh tersebut. Saya juga hadir pada program tersebut bersama Timbalan Presiden PAFI, Cik Fazilah Amran. Perjalanan dimulakan dengan berkumpul di jeti Pulau Ketam dan ketika itu saya berjumpa dengan seorang pejuang yang dalam ketegori OKU tapi perjuangan beliau yang melangkaui hingga ke Palestine dan Afghanistan amat dikagumi. Dr Yusof yang juga merupakan seorang Doktor perubatan turut menyertai misi ini. 


Berjumpa dengan dua orang muallaf yang disebut sebut iaitu Ishak Hoo dan Muhammad Ng yangs sering disebut sebagai mereka yang sedang berjuang mengekalkan akidah mereka di Pulau Ketam. Walaupun agak menghadapi masalah berkomunikasi dengan mereka namun dari gaya mereka, nampak mereka sangat bahagia bila ada kumpulan yang datang menyertai program ini dan mengimarahkan Balai Islam Pulau Ketam.


Program ini turut dihadiri dengan mahasiswa dari UIAM PJ, KISDAR, KUIS dan juga sukarelawan yang pelbagai yang turut bersama dalam proram ini. Pada petang tersebut, kami membahagikan peserta kepada beberapa kumpulan yang kemudian diberikan tugas dan berjalan di sekitar Pulau Ketam. Kemudian sebaik pulang sebelum menjamu selera berbuka puasa mereka dikehendaki membentangkan semua arahan yang telah diberikan. 


Dalam menjalankan misi dakwah ini, kebanyakan peserta diuji dengan masalah air yang tidak ada di Pulau Ketam akibat daripada paip pecah di dasar laut dan ketika itu sudah hampir sebulan air tidak ada di Pulau Ketam. Walaupun agak mencabar tapi mereka telah berjaya mengharungi cabaran ini. Berbuka puasa seterusnya menunaikan solat berjemaah dengan tarawikh adalah merupakan satu kenangan yang saat indah terutamanya bersemangat apabila kami melihat semangat adik adik mahasiswa yang sepenuh hati melupakan ketidaksenangan dengan tidak mandi nya.

Pada malam tersebut telah banyak diskusi yang dibuat dan dengan santai di program tersebut. Cuma pada malam tersebut lewat malam saya difahamkan peserta berjalan jalan makan di kedai Indonesia muslim sehingga lewat 2 pagi. Saya pula ketika itu agak tidak sihat memilih untuk tidur pada jam 11 malam


Pada pagi selepas Subuh, semua peserta diminta untuk memberikan tazkirah ringkas dari sedutan ayat Al Quran atau Hadith dan ini disampaikan dengan baik oleh semua para peserta. Saya agak terpegun dengan kepetahan adik adik ini berbicara dengan pelbagai sedutan kisah kisah Rasul dan sahabat serta huraian ayat Al Quran yang sangat baik. 

Usai pagi tersebut, kami semua bertolak balik ke rumah masing masing. Terima kasih pada semua yang menjayakan dan sekalung tahniah untuk Encik Azlan Sharif yang konsisten mendepani isu komuniti asnaf dan orang asli di pedalaman Selangor. Jazakallah..

Arm Ly
3 Ogos 2014

Hari ni sudah masuk hari ke 4 berpuasa.  Setakat ini rasanya masih dalam mood semua rasa gembira dengan kedatangan ramadhan kali ini.  Sejak kedatangan Ramadhan ini banyak program seminar agama dan yang berkaitan bergerak perlahan. Mungkin atas sebab itu masa nak dekat bulan puasa banyak program yang agak penuh hingga padat sepanjang bulan Jun 2014 yang lepas.  Ini bagi memberi peluang kepada semua orang lebih fokus pada bulan yang dinamakan bulan ibadat ini.

Agak masih awal untuk merasa risau tentang kehilangan Ramadhan  tapi bagi insan yang terlalu mencintai Ramadhan,  bagi setiap detik yang berlalu agak meresahkan sedang banyak lagi amalan tidak dibuat dalam bulan yang digelar pesta ibadah ini.

Masuk minggu kedua nanti akan penuhlah segala jadual dengan jemputan meraikan asnaf mahupun anak yatim dalam pelbagai majlis berbuka puasa dan sahur.  Tapi alangkah baiknya jika program seperti ini berterusan di bulan bulan lain.  Bukan sekadar bulan ini sahaja tabiat bersedekah dan membuat amal harus diamalkan tapi bulan bulan lain juga perlu diteruskan amalan mulia ini. 

Kehebatan bulan Ramadhan tidak dapat dinafikan lagi.  Namun amal yang berterusan sepertimana yang dipraktikkan dalam bulan Ramadhan ini harus dijadikan amalan dan istiqamah.

Selamat beramal!

Arm Ly
4 Ramadhan 2014
6.15pm
www.mahabbahfillah.com

Assalamualaikum..  Salam Ramadhan..  Islam sering menggalakkan kita untuk menjadi orang yang memberi manfaat dari mereka yang hanya memberi manfaat.  Kebanyakan kita selalu mengeluh dalam zaman serba kekurangan ini bahawa tidak mampu memberi contohnya seperti sedekahkan wang. Adakah memberi ini mengikut semata mata pada jumlah wang ataupun hanya merujuk kepada wang semata mata.  Para salafussoleh selalu menjadi penggerak kepada sesuatu perkara terutamanya bila berkaitan dengan kebajikan.  Mereka berlumba lumba untuk menjadi orang yang melakukan kebaikan.

Contohnya sebagai suri rumahtangga, daripada menunggu orang datang memberi makanan baik lah kalau kita yang masak atau sediakan makanan sikit hantar pada jiran kita.

Islam selalu didik kita jadi golongan memberi dari mereka yang menerima. Sepatutnya bika kita tengok orang buat amal kita rasa cemburu nak buat amal.. Situasi sekarang bila ada saf depan kosong sembahyang kita suruh orang ke depan dan kita di belakang.  Sedangkan mereka yang solat di saf depan lebih banyak pahalanya.  Kita tak nak berebut dalam membuat amal kebaikan. 

Semangat kita untuk buat baik dalam masyarakat dan ibadah kita perlu diperkuatkan.  Berlumbalah dalam membuat kebaikan. 

Arm Ly
3 Ramadhan 1435
1.54pm


Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI) akan melaksanakan program PROJEK DAIE MUDA PAFI yang bertujuan untuk :

1. Melahirkan Daie Muda yang berkemahiran dalam isu yang melibatkan komuniti disayangi (marginalized community) dan ingin menyumbang kepada pembangunan komuniti berlandaskan prinsip prinsip Islam dan menepati syariah.

2. Daie Muda yang akan dilatih oleh Mudir dan Mudirah yang berpengalaman dalam isu komuniti disayangi dan juga dipandu oleh Jabatan Agama dan Organisasi Dakwah yang mahir dalam bidang ini.

3. Mampu untuk bekerja sendiri dan boleh merancang untuk sebarang program yang melibatkan komuniti disayangi tanpa perlu pemerhatian sepenuh masa oleh PAFI. Berusaha untuk menjadi Pencetus Ummah kepada isu komuniti.

4. Akan diberikan latihan yang intensif dan haruslah berminat dengan sepenuh hati tanpa meninggalkan siri latihan intensif yang akan dijalankan oleh jawatankuasa PAFI dan juga yang dimanahkan oleh Mudir dan Mudirah.

5. Sesi pertama Projek Daie Muda PAFI akan mengambil 10 orang calon (5 lelaki dan 5 perempuan).

6. Peserta akan diberikan Sijil Projek Daie Muda dan akan dipimpin untuk memohon tauliah dari Jabatan Agama Islam Negeri.


Borang permohonan boleh diperolehi dengan melayari laman web PAFI di www.amalfirdausi.org.

Assalamualaikum.. sepanjang 4 hari dari 20 - 24 April 2014 saya telah berada di Kelantan sempena Minggu Amanah Saham Malaysia di RTC Wakaf Che Yeh Kota Bharu.

Sepanjang berada di sini saya dan team telah melakukan sesi motovasi berkonsepkan teater dan seni. Yang terlibat hampir 1000 orang pelajar sekolah menengah dan rendah.

Nampaknya perjalanan lancar dan ini dapat digambarkan dengan beberapa gambar di bawah. Di harapkan selepas ini lebih banyak program begini dapat dirangka.


Malaysia merupakan sebuah negara timur yang mempunyai banyak keunikannya yang tersendiri. Ini diakui oleh setiap pelancong yang datang ke negara kita. Tapi biasanya hakikat tentang hebatnya dan unik negara kita tidak pernah diakui dan dihargai oleh rakyat kita sendiri.  Antara keunikan  yang selalu dibangga banggakan oleh kita adalah keyakinan bahawa kita mempunyai adab dan sopan santun yang hebat. Benarkah ini?

Sejak dari zaman dahulu lagi terutamanya yang sering ditonjolkan dalam sejarah iaitu sejarah Melaka betapa Hang Tuah sanggup mengorbankan kecintaan dirinya tehadap Teja dan juga kepada Puteri Gunung Ledang hanya kerana menurut titah Sultan.  Sahabatnya Hang Jebat hingga maut ditangan Hang Tuah hanya kerana hormat dan menuruti perintah Sultan Melaka. Semua ini tidak lain hanyalah kerana adab dan sopan santun seorang rakyat kepada raja dan sedar betapa peri pentingnya seorang rakyat menturuti perintah sultan.

Tapi setelah masa berlalu dan orang Melayu dimomokkan dengan agenda globalisasi dan perubahan seiring dengan peradaban dunia, nampaknya orang Melayu telah makin pupus adab dan tatasusilanya. Kalau kita lihat di dalam media sosial contohnya sejak masing masing diberikan kebebasan dalam hak asasi manusia nampaknya adab dan tatasusila hilang dari orang Malaysia.

Kejadian Yang Dipertuan Agung Sultan Abdul Halim dicerca di dalam media sosial dan juga pelbagai lontaran bahasa bahasa kesat yang langsung tidak sejajar dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w telah membuatkan kita terfikir.. apa dah jadi dengan adab dan budi bahasa orang kita. Bila merujuk kepada apa yang terjadi harus ditekankan bahawa ini bukan hanya merujuk kepada orang Melayu semata mata tetapi juga kepada semua rakyat di dalam negara Malaysia yanh tercinta ini.

Satu peradaban dan kemajuan hanya akan dicapai seiring dengan akhlak dan tatasulila yang tinggi dalam masyarakat.  Bagaimana kita mahu menekankan dan menerapkan konsep tatasusila yang tinggi kalau kita sering dimomokkan dengan kebencian demi kebencian setiap masa. Ini bukan sahaja di dalam media sosial tetapi semakin parah di media massa dan media elektronik.

Malaysia ini kecil sahaja. Kalau negara sekecil ini di heret dalam kancah kebencian yang melampau, dimanakah akhirnya nasib anak anak warisan bangsa kita nanti? Hilang sudah kasih sayang sesama insan.



Dalam satu Sabda Rasululullah s.a.w bermaksud "Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit"

Jadi bagaimana pula kita mewajarkan maki hamun dan ayat ayat yang langsung tidak menggambarkan agama Islam sebagai agama rahmat yang membawa mesej kasih sayang ke senatero alam. Bagaimana pula dengan Rasululullah s.a.w yang turut menjalankan dakwah Baginda dengan penuh hikmah dan kasih sayang. 

Jadilah  kita penyambung wasilah Rasululullah s.a.w yang telah disampaikan oleh Baginda. Janganlah memberi tanggapan yang buruk dengan akhlak yang terpuji.

Dari Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w bersabda "Seseorang mukmin belum sempurna imannya hinggalah ia meninggalkan dusta ketika bergurau dan meninggalkan bertengkar sekalipun benar".

Illalliqa'


Armly
3/2/2014 / 10.44pm
ukhwaharmly@gmail.com



Hari ini bermulalah kelas pengajian Haji untuk persediaan bakal haji di Masjid UKM Bangi. Banyak masjid dan tempat yang melaksanakan program kursus haji mulai Februari 2014.

Menunaikan ibadat umrah pada tahun 2011, 2012 dan 2013 membuatkan hati mula meronta ronta untuk menunaikan Haji pula. Haji merupakan kemuncak kepada amal ibadat yang telah digariskan dalam rukun Islam bagi mereka yang mampu. Alhamdulillah tahun ini jika ada rezeki dapatlah bersana ayah dan ibu menunaikan haji. Memang dah lama menjadi igauan dan impian utk berada dalam kemuncak ibadah ini.

Sejak penambahbaikan Masjidil haram, kuota kepada mereka yang boleh mengerjakan haji jadi semakin kurang. Pengurangan sebanyak 10% memberi impak kepada jemaah sedia ada. Kalau ikutkan giliran mengerjakan haji pasti ramai yang bersetuju memang sampai ke tua lah tak dapat pegi haji apatah lagi melihat tahun tahun jangkaan yang tak logik ini.

Kalau zaman dahulu bayar mahal boleh la pegi haji. Tapi sekarang ni bayar banyak mana pun belum tentu lagi dapat pergi.

Ramai yang mengeluh dengan situasi ini. Tapi sebenarnya kita kena tengok balik diantara salah satu syarat menunaikan haji adalah berkemampuan. Kuota yang sikit dan giliran yang panjang juga adalah satu asbab kepada berkemampuan.  Berkemampuan untuk memenuhi kuota dan giliran menunaikan haji juga diambil kira.

Sebenarnya walaupun kita sehingga ke akhir hayat tak dapat menunaikan haji, namun bila dah ada niat menyimpan dan mendaftar, kita dah pun bergelar haji tu.

Apa yang penting azam, tanamkan semangat dan ikhlaskan hati.. kerana Allah untuk kemuncak ibadat ini.

Wallahualam

Armly
1/2/2014
10.10am
Ukhwaharmly@gmail.com

Anak Anak Dilahirkan Ibarat Kain Putih - Gambar Hiasan (Arm Photo)

Sabar tu biasanya mudah untuk diungkapkan. Tapi bagi mereka yang menghadapi cabaran dan rintangan yang datang sendiri lah yang tahu tentang hakikat sabar. Kita biasa sahaja mendengar kalau kawan kawan kita ditimpa kecelakaan maka ayat pertama yang kita akan sebut "Bersabarlah.. Sabarlah yer" tapi adakah apa yang diungkapkan adalah semudah mereka yang sedang berduka akibat ditimpa musibah dalam hidup mereka. 

"Wahai orang - orang yang beriman bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu itu" - Surah Al Imran ayat 200.

Kalau bukan sebab hakikat sabar yang banyak hikmahnya, masakan Allah menuturkan dalam Firmannya dalam surah Al Imran itu tadi. Jika kita baca sirah para sabahat sabat Rasululullah s.a.w dan juga sejarah para Nabi pasti kita akan sedar bahawa hakikat sabar itu mampu untuk meruntuhkan keegoan seorang manusia.

Apa yang ingin saya ceritakan ini adalah sebuah kisah semasa yang merupakan kisah benar tentang seorang sahabat yang asalnya merupakan seorang pengamal aktiviti berisiko yang telah menyebabkan beliau telah dijangkiti oleh Virus HIV. Pada awal hidupnya beliau menyakini bahawa apa yang telah ditakdirkan dalam hidup beliau adalah akan kekal menjadi pengamal tegar seks bebas dan sering bertukar tukar pasangan. Sering sahaja ketika mendengar nasihat tentang kembali kepada jalan Allah beliau sering terlintas di hati bahawa dirinya pasti tidak akan berjumpa sinar hidup. Bukan dia tidak mahu bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Tapi nafsu seks yang semakin kuat dan tidak mampu lari kerana dikelilingi oleh mereka mereka yang menambahkan keinginan ke arah itu.

Sering sahaja beliau mengucapkan bahawa sekiranya ketagihan dadah mampu dirawat dengan bimbingan yang betul dan kaedah rawatan yang berkesan, tapi bila melibatkan ketagihan seks yang sangat berat begini adalah sukar untuk melepaskan diri terutamanya bila melibatkan nafsu. Sampai ada ketikanya kesabaran beliau sudah tidak dapat dibendung. Maka terus berserah dengan apa yang terjadi dan hanya meletakkan kesemuanya pada keadaan. Jika beginilah nasib hidup maka biarlah begini.

Dosa? Bukan tak ingat tentang dosa. Sekalipun seorang itu mengamalkan hidup dengan cara yang mungkar namun di hati tetap mengakui hakikat kewujudan dan keesaan Allah maka sudah tentulah masih lagi seorang Islam. Solat walaupun tak penuh tapi akan cuba dipenuhi oleh beliau walaupun selepas melakukan aktiviti seks. 

Sehingga satu ketika melalui ujian HIV Elisa, beliau telah disahkan menghidapi virus HIV. Sedih? Tidak sedih sebenarnya kerana beliau tahu dengan apa yang beliau lakukan selama ini tambahan lagi tidak mengamalkan hubungan seks yang selamat pastinya akan berisiko dijangkiti virus ini dan juga beberapa penyakit kelamin lain seperti STD (Sex Transmission Desease). 

Adakah apabila seorang itu dijangkiti HIV atau musibah penyakit dalam hidup akan mengubah seseorang itu kembali pada jalan Allah? Tidak semestinya. Dalam banyak sahabat sahabat komuniti saya, saya perhatikan hidayah itu memang benar milik Allah. Ada yang kembali ke jalan Allah dan ada yang terus berada dalam jalan gelap itu.

Beliau yang selepas menerima hakikat tentang sakit ini telah bertanya dan terus bertanya dan kecewa kerana ketika itu beliau hendak berubah dan mendirikan rumahtangga. Namun setelah merasakan kecewa kerana keputusan HIV positif ini dan mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan.  Namun Allah itu maha besar... Selagi kita berusaha mencari jalan penyelesaian dengan cara yang diredhai Allah pasti Allah akan membuka jalan untuk hambaNya kembali.

Beliau telah melepaskan segala keluhannya pada Allah dan redha dengan apa yang terjadi. Perubahan demi perubahan dilakukan dengan perlahan lahan. Sehingga akhirnya beliau sebut bahawa beliau bersyukur sebenarnya kerana dikurniakan HIV pada dirinya. Kerana jika tidak kerana itu pasti beliau masih tidak menjumpai jalan jalan yang benar, Beberapa kali berjumpa dengan beliau, nampak perubahan yang amat ketara sehingga kini kerana beliau menjadi pakar rujuk kepada komuniti  dan juga di kawasan kejiranan beliau hingga diangkat menjadi Ustaz.

Siapa sangka dari martabat di lorong Allah mengangkat martabatnya hingga menjadi pemimpin masyarakat yang menjadi rujukan  serta mencetus perubahan ummah.

"Sungguh akan Kami berikan cobaan kepada kamu sekalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar". - Al Baqarah ayat 155

Pernah saya melontarkan persoalan sejauh manakah seseorang itu mampu berubah selepas diberikan peringatan (dalam kes ini Virus HIV) dan adakah perubahan itu menjadi turning point untuk seseorang itu kembali pada jalan Allah.

Hakikatnya jawapan ini tergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang memerlukan turning point dan ada yang tidak memerlukan langsung turning point untuk berubah. Ini bukannya CEREKARAMA TV3 untuk menjadikan apa sahaja dalam hidup ini dramatik dengan drama drama airmata yang diakhiri dengan hukuman (tak merujuk TANAH KUBUR Astro OASIS). Allah tu kan maha pengampun, maha pemurah dan maha pengasih. Bagi hambaNya yang kembali padaNya walau sebesar mana pun dosanya sehingga seluas lautan, sebesar gunung Everest, yakinlah bahawa Allah itu MAHA BESAR PENGAMPUNANNYA. Allah tu kan yang mencipta kita.. Allah lebih tahu tentang lebih dan kurangnya kita ini.


Di akhir penulisan ini saya menjemput sahabat semua untuk menghadiri satu Program yang kami di Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI) laksanakan dengan kerjasama JAWI dan Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 16 Februari 2014 nanti. Banyak yang akan kita kongsikan bersama terutama kaitan HIV & Islam dan bagaimana Islam mampu menjadi penyelesaian kepada permasalahan ini.  Wallahualam


Armly
31/1/2014
4.00pm
Email : ukhwaharmly@gmail.com


Baru baru ini telah diadakan Maulid Akbar di Majlis Talim Darul Murtadza yang merupakan satu majlis yang amat dinanti nantikan oleh ramai masyarakat yang sudah biasa dengan sambutan tahunan Majlis Talim Darul Murtadza setiap tahun di Masjid Muad Bin Jabal Setiawangsa, Kuala Lumpur. Ramai yang menyatakan keinginan untuk bersama dalam program tersebut dan Alhamdulillah Allah telah mengurniakan kelapangan untuk saya menghadiri program tersebut. Banyak yang dapat dipelajari dengan kehadiran Habib Ali Zainal Abidin, Habib Jindan, Bekas Mufto Johor Dato Noh Gadut dan ramai guru mursyid dari pelbagai Majlis Talim yang biasa dijalankan di Malaysia dan juga undangan dari luar negara.



Maulid Akbar 2014 di Majlis Talim Darul Murtadza  - Masjid Muadz Bin Jabal Setiawangsa


                      Para Mursyid yang hadir pada Maulid Akbar 2014 - Majlis Talim Darul Murtadza

Rasululullah yang telah dijadikan untuk pembawa rahmat ke seluruh alam. Kelahiran Baginda Rasululullah pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah iaitu pada 20 April 571 Masihi bersamaan dengan hari Isnin. Betapa mulianya Baginda Rasululullah yang dilahirkan pada hari Isnin sedangkan kita sebagai umat Islam sering sahaja mengeluh kalau hari Isnin tiba kerana tak sanggup menghadapinya di tempat kerja. Biasa hadapi kan?

Tahun kelahiran Baginda Rasulullah disebutkan sebagai Tahun Gajah kerana pada ketika itu adalah peristiwa di mana Raja Abrahah membawa tentera bergajah beliau untuk menyerang dan memusnahkan Kota Mekah dan Kaabah. Namun tentera bergajah itu telah dihancurkan pada ketika itu oleh burung ababil yang membawa seketul batu pada kakinya seperti yang diterangkan dalam Al Quran melalui surah Al Fil  yang bermaksud :
"Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera Gajah?. Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasukan. Yang melontar mereka dengan batu baru dari sejenis tanah yang dibakar keras. Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun - daun yang dimakan ulat" - Al Fil 1 - 5
Rasulullah S.A.W telah kehilangan isteri Baginda yang amat disayangi iaitu Siti Khadijah r.a yang sangat berjasa kepada Baginda dan merupakan satu kehilangan yang amat besar pada Rasulullah oada tahun tersebut hingga disebut tahun duka pada Rasululllah apabila turut ditinggalkan oleh bapa saudara Baginda yang turut meninggal dunia pada tahun itu.

Rasululllah yang telah diberikan dugaan yang maha hebat dalam menghadapi kaumnya hanya ditemani oleh sahabat Baginda yang setia Saidina Abu Bakar As Siddiq yang menjadi persaksian terhadap apa sahaja yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Dalam peristiwa penghijrahan Baginda Rasulullullah ke Kota Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah Al Munawarrah., Saidina Abu Bakar As Siddiq telah menjadi sahabat Baginda yang menyerahkan seluruh jiwa raganya untuk mepertahankan Rasulullullah sehingga satu peristiwa yang mahsyur apabila beliau disengat oleh lebah ketika berada dalam Gua Tsur semata mata tidak mahu Rasululullah disengat oleh binatang berbisa.

Rasululullah s.a.w telah diberikan sambutan yang hebat oleh penduduk Madinah sehinggakan Baginda berjaya membuka Kota Madinah yang merupakan Kerajaan Islam pertama di bawah Baginda Rasululullah yang telah menyatukan golongan ansar dan muhajirin. Sehingga kini amat istimewa peristiwa tersebut apabila penduduka Madinah bergurindam dengan Tolaalbadrualaina.

Baginda Rasulullah telah mempertahankan bumi Madinah apabila diserang oleh puak musyrikin dan telah pun terlibat dalam banyak peperangan dalam mempertahankan kerajaan Islam Madinah daripada tergugat hinggakan Rasululullah pernah terlibat dalam peperangan hebat yang mengakibatkan luka di badan Rasululullah dan yang paling mahyur dalam peperangan ini ialah peperangan Uhud yang telah mengkorbankan sekian banyak sahabat Rasulullullah termasuk Singa Allah iaitu Hamzah R.A.

Rasulullah kembali ke Kota Mekah dengan aman dan segerombolan umat Islam akhirnya dapat menawan Kota Melaka tampah pertumpahan darah pun dan akhirnya semua berhala yang ada di Kaabah dapat dihapuskan dan akhirnya jadilah Kota Mekah di mana Kaabah menjadi tempat yang akhirnya menjadi sebutan dan pusat kiblat kita seluruh penduduk manusia.

Pada haji terakhir Baginda Rasululullah s.a,w, Baginda telah pun bersabda dalam Khutbah terakhir baginda Rasululullah :

"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.  
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. 


Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. 
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.  
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.  
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.  
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.  
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.  
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.  
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.  
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "

Pada saat pengakhiran hayat Baginda Rasululullah s.a.w Baginda telah pun gering telah jatuh sakit tiga bulan selepas Baginda pulang ke Madinah selepas menunaikan haji terakhir. Rasulullah jatuh sakit dan berlarutan selama 10 hari dan akhirnya Baginda Rasululllah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal ketika Baginda berusia 63 tahun. 

Kini Rasulullah telahpun meninggalkan kita dengan pelbagai ajaran dan sunnah Baginda beeserta dengan Al Quran yang diturunkan untuk ummat Nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran Baginda yang telah membawa seribu rahmat kepada ummah manusia dan juga memberikan sinar kepada seluruh alam. Kehebatan Baginda dan pengorbanan sepanjang melaksanakan tugas dakwah yang telah disyariatkan telah mengusik seluruh ummah manusia dan memberikan impak yang sangat besar.

Sebagai ummat Nabi Muhammad s.a.w, perlulah kita sentiasa menyelusuri sirah Baginda Rasulullullah s.a.w dan sentiasa berselawat kepada Baginda. Sedangkan Allah turut berselawat ke atas Baginda apatah lagi kita hanya sebagai hambaNya. Kenangkanlah pengorbanan dan segala yang telah diberikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),  serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)"  - Surah Ali `Imran: 110
Saya tinggalkan hadirin pembaca dengan sebuah tazkirah ringkas dari Ustaz Don Bin Daniyal bertajuk Saat Saat Akhir Kewafatan Rasulullah s.a.w.



Selawat dan salam pada Rasululullah s.a.w.

Hamli Hamdan 
Armly
11 Januari 2014


Kita basah dalam peluh
Mengeluh lelah mengejar masa itu
Tak pantas untuk menuruti hawa dunia
Sedang nyawa tak tentu hujung mana
Kapankah resah tatkala jiwa ini kosong akan hilang
Apakah akan terus kosong dan tak berpenghuni
Tatkala si pencabut nyawa sedang menunggu

Jalan ini masih panjang
Tapi kaki ini makin perlahan langkahnya
Tak pasti benar aku lelah atau ingin cepat kepadaNya
Sedang tak pasti mana timbangan yang membawaku

Fitrah manusia menghamba padaMu
Gejolak hati penat menyelusuri jalan noda
Penat dan lelah wahai Tuhanku
Takut tak sempat bertemuMu di batas waktu..

Benar Ya Tuhan
Jalan ini masih panjang..
Sehingga bertemuMu. .


Armly 
Januari 2014
Isu yang timbul sejak rampasan Bible oleh JAIS pada baru baru ini membuka satu peristiwa penting sejak 2014 membuka tirai. Polimik menggunakan kalimah Allah di dalam gereja telah melanggar keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya tentang larangan menggunakan kalimah Allah oleh bukan Islam. Perkara ini turut ditekankan berkali kali oleh Sultan Selangor supaya rakyat akur dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Sebagai penaung yang menaungi agama Islam di negeri Selangor, nampaknya apa yang dihadapi oleh Tuanku Sultan tidak pernah terjadi dari zaman ayahanda Sultan dan moyang beliau. Perkara yang mula menggugat institusi agama seperti JAIS yang berada terus dibawah kendalian Tuanku Sultan.

Banyak polimik cabaran berlaku sejak kebebasan diberikan atas nama hak asasi manusia. Perkara 11 Perlembagaan Malaysia telah disalah tafsir dan cadangan daripada beberapa ahli parlimen bukan Islam untuk mengkaji undang undang dan Perlembagaan Malaysia untuk membolehkan pengembangan agama lain pasti akam menggugat keharmonian kaum yang dicapai selama ini. Isu sensitif seperti jumlah mereka yang memohon keluar agama Islam dan menjadi murtad mula dikesampingkan akibat manipulasi isu oleh ahli politik dan mereka yang berkepentingan. Ini menjadikan beberapa pihak pula menangguk di air keruh hanya tersenyum melihat kekalutan ummat islam yang mula berpecah belah.

Sejarah kejatuhan kerajaan Andalusia dan kejatuhan empayar Uthmaniah di Turki pada satu masa dahulu tidak dijadikan iktibar oleh kita. Akhirnya yang menanggung akibat ini kalau bukan kita pasti generasi akan datang, anak anak kita yang bakal menghadapi cabaran untuk memperjuang dan memperkasakan agama Islam dan perkembangannya di Malaysia.
Di dalam kitab Al Quran, Allah telah berfirman :

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa jahiliyaj) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara" - Al Imran :103


Nikmat keamanan dan bersatu sangat mahal nilainya. Walaupun generasi sekarang tidak berminat dengan sejarah, kita perlu sedar jatuh bangun satu kaum itu adalah dari sejauh mana kita belajar dari kesilapan yang pernah dilakukan dahulu. Sejarah itu sifatnya berulang ulang dan ia pastinya akan sentiasa berlaku. Bila kita tak kaji kelemahan yang pernah kita buat dahulu pastinya kita lebih terdorong untuk melakukannya kembali.  

Berbalik kepada isu rampasan Bible dan Polimik yang bermula kembali tentang penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja ini, saya menjangkakan isu ini akan terus dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan.  Cara yang paling utama yang boleh mengatasi masalah ini adalah tolenrasi diantara kita dan perlu ada dialog harmoni di antara agama Islam dan Kristian untuk mencari titik persamaan tanpa perlu menjejaskan mana mana pihak. Perbincangan ini mestilah dijauhi dari mana mana unsur politik dan semua yang terlibat harus ikhlas dan jujur. 

Namun seperti juga Islam, pihak gereja juga pasti tidak mahu kalah dalam isu ini.
Masalah yang sangat menggusarkan kita ialah pasti ada pihak yang mahu melihat isu ini dari segi kepentingan politik. Sekiranya sikap ini berterusan kita tidak akan dapat mencari titik persamaan dan masalah ini akan terus membarah dalam masyarakat kita.

Islam adalah agama perdamaian. Mari kita semarakkan relevansi dialog harmoni yang mampu menyelesaikan konflik ini dari terus berlanjutan.


Hamli Hamdan
Armly
8 Januari 2014

Ada manusia yang tidak mahu lagi menggunakan apa yang telah disampaikan oleh Allah dalam Al Quran dan Hadith sebaliknya terlalu mendewa dewakan pelbagai pemikiran asing dari pelbagai tokoh yang hidup sejak dulu. Segala falsafah dan kata kata yang dapat menunjukkan daya intelektual yang tinggi menyebabkan untuk menggunakan Kalamullah tidak nampak hebat kerana tidak mendokong kata kata aspirasi "boombastik" yang mampu mengkagumkan kalangan pendengar yang pasti akan terpesona lantaran pemilihan ayat ayat yang menunjukkan bahawa daya intelektual nya tinggi. Tiada lagi memetik kisah kisah Rasululullah dan sahabat Baginda yang telah mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran yang datang ketika menyampaikan dakwah. Cerita cerita yang membesarkan perjuangan sahabat Baginda tidak lagi menarik minat untuk merasakan betapa kerdilnya diri dalam perjuangan hidup di zaman yang serba mencabar ini. 

Apa yang terkandung dalam Al Quran dan Hadith serta kisah kisah sahabat Baginda s.a.w adalah satu dorongan untuk manusia berfikir. Di dalam Al Quran tidak terdapat satu hukum yang bersifat melumpuhkan akal manusia supaya berfikir.. Bukankah ketika Nabi Ibrahim a.s tercari cari siapakah Tuhannya, Nabi Ibrahim telah memandang pada bulan, matahari dan pelbagai lagi yang disangkakan itulah Tuhan. Betapa Nabi Ibrahim dalam pencariannya terhadap siapa Tuhannya telah memberikan makna bahawa Islam menggalakkan manusia berfikir. 

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang". - An' Am : 76
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". - Surah An' Am : 77  
Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). - Surah An' Am : 78 

Namun begitu dengan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w yang telah diturunkan Al Quran sebagai panduan kepada ummatnya telah memberikan satu penyelesaian seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam FirmanNya :

"Pada hari ini (hari Arafah 10 hijraj) Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu Din kamu dan Aku sempurnakan nikmatKu ke atas kamu dan Aku redha Islam sebagai Din kamu " - Al Maidah : 3

Jadi bagaimanakah kiranya apabila kita lebih menyanjung semua pendapat dan tulisan yang kita seolah olah menjadikan sebagai sumber utama kepada rujukan dalam pencarian ilmu Allah yang luas ini. Kandungan makna dalam Al Quran tiada satu perkara pun yang merintangi akal untuk mencari pelbagai ilmu yang sangat luas sifatnya. Tak salah mencari ilmu dan berfikir asalkan masih dalam ruang lingkup yang benar dan dipandu oleh para agamawan.

Telahpun Allah nyatakan dalam FirmanNya :

"Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja iaitu hendaklah kamu bersungguh-sungguh mencari kebenaran keramna Allah semata mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri : kemudian hendaklah kamu berfkir sematang -matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)" - Surah Saba : 46

Jangan bangga dengan segala pendapat yang kita dapat dan kutip dari makhluk yang turut dijadikan oleh Allah dan pastinya mempunyai daya pemikiran yang tidak sempurna. Jangan bangga dan angkuh dengan pendapat sendiri dan menenggelamkan pendapat orang lain. Ada orang yang dikurniakan Allah dengan kelebihan mampu berhujah. Kadangkala walaupun senatero alam tahu apa yang dihujahkan tu sangat menyimpang, tapi oleh kerana kelebihan yang Allah beri itu mampu untuk beliau menegakkan yang batil. 


Orang yang tidak menjawab dan berdiam diri itu bukanlah bermaksud tidak benar dan kalah. Dalam Sabda Rasulullullah s.a.w dalam menyatakan tentang ini ialah : 

"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya" - Hadith 

Kalau akhlak Rasulullah manusia paling agung lembut tutur bicara, berakhlak, beradab dan berhemah dalam hidupnya, apa alasan kita untuk jadi yang kasar tidak beradab dan berlawanan dengan sifatnya?

Bangkang jangan sampai terkangkang... Puji jangan sampai mati..

Berguru dengan guru, bukan dengan buku.. logik dengan Al Quran bukan dengan akal semata. Pasti dipandu Rabbul alamin..


Hamli Hamdan (Armly)
7 Januari 2014