Hari ini bermulalah kelas pengajian Haji untuk persediaan bakal haji di Masjid UKM Bangi. Banyak masjid dan tempat yang melaksanakan program kursus haji mulai Februari 2014.

Menunaikan ibadat umrah pada tahun 2011, 2012 dan 2013 membuatkan hati mula meronta ronta untuk menunaikan Haji pula. Haji merupakan kemuncak kepada amal ibadat yang telah digariskan dalam rukun Islam bagi mereka yang mampu. Alhamdulillah tahun ini jika ada rezeki dapatlah bersana ayah dan ibu menunaikan haji. Memang dah lama menjadi igauan dan impian utk berada dalam kemuncak ibadah ini.

Sejak penambahbaikan Masjidil haram, kuota kepada mereka yang boleh mengerjakan haji jadi semakin kurang. Pengurangan sebanyak 10% memberi impak kepada jemaah sedia ada. Kalau ikutkan giliran mengerjakan haji pasti ramai yang bersetuju memang sampai ke tua lah tak dapat pegi haji apatah lagi melihat tahun tahun jangkaan yang tak logik ini.

Kalau zaman dahulu bayar mahal boleh la pegi haji. Tapi sekarang ni bayar banyak mana pun belum tentu lagi dapat pergi.

Ramai yang mengeluh dengan situasi ini. Tapi sebenarnya kita kena tengok balik diantara salah satu syarat menunaikan haji adalah berkemampuan. Kuota yang sikit dan giliran yang panjang juga adalah satu asbab kepada berkemampuan.  Berkemampuan untuk memenuhi kuota dan giliran menunaikan haji juga diambil kira.

Sebenarnya walaupun kita sehingga ke akhir hayat tak dapat menunaikan haji, namun bila dah ada niat menyimpan dan mendaftar, kita dah pun bergelar haji tu.

Apa yang penting azam, tanamkan semangat dan ikhlaskan hati.. kerana Allah untuk kemuncak ibadat ini.

Wallahualam

Armly
1/2/2014
10.10am
Ukhwaharmly@gmail.com

Anak Anak Dilahirkan Ibarat Kain Putih - Gambar Hiasan (Arm Photo)

Sabar tu biasanya mudah untuk diungkapkan. Tapi bagi mereka yang menghadapi cabaran dan rintangan yang datang sendiri lah yang tahu tentang hakikat sabar. Kita biasa sahaja mendengar kalau kawan kawan kita ditimpa kecelakaan maka ayat pertama yang kita akan sebut "Bersabarlah.. Sabarlah yer" tapi adakah apa yang diungkapkan adalah semudah mereka yang sedang berduka akibat ditimpa musibah dalam hidup mereka. 

"Wahai orang - orang yang beriman bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu itu" - Surah Al Imran ayat 200.

Kalau bukan sebab hakikat sabar yang banyak hikmahnya, masakan Allah menuturkan dalam Firmannya dalam surah Al Imran itu tadi. Jika kita baca sirah para sabahat sabat Rasululullah s.a.w dan juga sejarah para Nabi pasti kita akan sedar bahawa hakikat sabar itu mampu untuk meruntuhkan keegoan seorang manusia.

Apa yang ingin saya ceritakan ini adalah sebuah kisah semasa yang merupakan kisah benar tentang seorang sahabat yang asalnya merupakan seorang pengamal aktiviti berisiko yang telah menyebabkan beliau telah dijangkiti oleh Virus HIV. Pada awal hidupnya beliau menyakini bahawa apa yang telah ditakdirkan dalam hidup beliau adalah akan kekal menjadi pengamal tegar seks bebas dan sering bertukar tukar pasangan. Sering sahaja ketika mendengar nasihat tentang kembali kepada jalan Allah beliau sering terlintas di hati bahawa dirinya pasti tidak akan berjumpa sinar hidup. Bukan dia tidak mahu bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Tapi nafsu seks yang semakin kuat dan tidak mampu lari kerana dikelilingi oleh mereka mereka yang menambahkan keinginan ke arah itu.

Sering sahaja beliau mengucapkan bahawa sekiranya ketagihan dadah mampu dirawat dengan bimbingan yang betul dan kaedah rawatan yang berkesan, tapi bila melibatkan ketagihan seks yang sangat berat begini adalah sukar untuk melepaskan diri terutamanya bila melibatkan nafsu. Sampai ada ketikanya kesabaran beliau sudah tidak dapat dibendung. Maka terus berserah dengan apa yang terjadi dan hanya meletakkan kesemuanya pada keadaan. Jika beginilah nasib hidup maka biarlah begini.

Dosa? Bukan tak ingat tentang dosa. Sekalipun seorang itu mengamalkan hidup dengan cara yang mungkar namun di hati tetap mengakui hakikat kewujudan dan keesaan Allah maka sudah tentulah masih lagi seorang Islam. Solat walaupun tak penuh tapi akan cuba dipenuhi oleh beliau walaupun selepas melakukan aktiviti seks. 

Sehingga satu ketika melalui ujian HIV Elisa, beliau telah disahkan menghidapi virus HIV. Sedih? Tidak sedih sebenarnya kerana beliau tahu dengan apa yang beliau lakukan selama ini tambahan lagi tidak mengamalkan hubungan seks yang selamat pastinya akan berisiko dijangkiti virus ini dan juga beberapa penyakit kelamin lain seperti STD (Sex Transmission Desease). 

Adakah apabila seorang itu dijangkiti HIV atau musibah penyakit dalam hidup akan mengubah seseorang itu kembali pada jalan Allah? Tidak semestinya. Dalam banyak sahabat sahabat komuniti saya, saya perhatikan hidayah itu memang benar milik Allah. Ada yang kembali ke jalan Allah dan ada yang terus berada dalam jalan gelap itu.

Beliau yang selepas menerima hakikat tentang sakit ini telah bertanya dan terus bertanya dan kecewa kerana ketika itu beliau hendak berubah dan mendirikan rumahtangga. Namun setelah merasakan kecewa kerana keputusan HIV positif ini dan mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan.  Namun Allah itu maha besar... Selagi kita berusaha mencari jalan penyelesaian dengan cara yang diredhai Allah pasti Allah akan membuka jalan untuk hambaNya kembali.

Beliau telah melepaskan segala keluhannya pada Allah dan redha dengan apa yang terjadi. Perubahan demi perubahan dilakukan dengan perlahan lahan. Sehingga akhirnya beliau sebut bahawa beliau bersyukur sebenarnya kerana dikurniakan HIV pada dirinya. Kerana jika tidak kerana itu pasti beliau masih tidak menjumpai jalan jalan yang benar, Beberapa kali berjumpa dengan beliau, nampak perubahan yang amat ketara sehingga kini kerana beliau menjadi pakar rujuk kepada komuniti  dan juga di kawasan kejiranan beliau hingga diangkat menjadi Ustaz.

Siapa sangka dari martabat di lorong Allah mengangkat martabatnya hingga menjadi pemimpin masyarakat yang menjadi rujukan  serta mencetus perubahan ummah.

"Sungguh akan Kami berikan cobaan kepada kamu sekalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar". - Al Baqarah ayat 155

Pernah saya melontarkan persoalan sejauh manakah seseorang itu mampu berubah selepas diberikan peringatan (dalam kes ini Virus HIV) dan adakah perubahan itu menjadi turning point untuk seseorang itu kembali pada jalan Allah.

Hakikatnya jawapan ini tergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang memerlukan turning point dan ada yang tidak memerlukan langsung turning point untuk berubah. Ini bukannya CEREKARAMA TV3 untuk menjadikan apa sahaja dalam hidup ini dramatik dengan drama drama airmata yang diakhiri dengan hukuman (tak merujuk TANAH KUBUR Astro OASIS). Allah tu kan maha pengampun, maha pemurah dan maha pengasih. Bagi hambaNya yang kembali padaNya walau sebesar mana pun dosanya sehingga seluas lautan, sebesar gunung Everest, yakinlah bahawa Allah itu MAHA BESAR PENGAMPUNANNYA. Allah tu kan yang mencipta kita.. Allah lebih tahu tentang lebih dan kurangnya kita ini.


Di akhir penulisan ini saya menjemput sahabat semua untuk menghadiri satu Program yang kami di Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur (PAFI) laksanakan dengan kerjasama JAWI dan Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 16 Februari 2014 nanti. Banyak yang akan kita kongsikan bersama terutama kaitan HIV & Islam dan bagaimana Islam mampu menjadi penyelesaian kepada permasalahan ini.  Wallahualam


Armly
31/1/2014
4.00pm
Email : ukhwaharmly@gmail.com


Baru baru ini telah diadakan Maulid Akbar di Majlis Talim Darul Murtadza yang merupakan satu majlis yang amat dinanti nantikan oleh ramai masyarakat yang sudah biasa dengan sambutan tahunan Majlis Talim Darul Murtadza setiap tahun di Masjid Muad Bin Jabal Setiawangsa, Kuala Lumpur. Ramai yang menyatakan keinginan untuk bersama dalam program tersebut dan Alhamdulillah Allah telah mengurniakan kelapangan untuk saya menghadiri program tersebut. Banyak yang dapat dipelajari dengan kehadiran Habib Ali Zainal Abidin, Habib Jindan, Bekas Mufto Johor Dato Noh Gadut dan ramai guru mursyid dari pelbagai Majlis Talim yang biasa dijalankan di Malaysia dan juga undangan dari luar negara.



Maulid Akbar 2014 di Majlis Talim Darul Murtadza  - Masjid Muadz Bin Jabal Setiawangsa


                      Para Mursyid yang hadir pada Maulid Akbar 2014 - Majlis Talim Darul Murtadza

Rasululullah yang telah dijadikan untuk pembawa rahmat ke seluruh alam. Kelahiran Baginda Rasululullah pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah iaitu pada 20 April 571 Masihi bersamaan dengan hari Isnin. Betapa mulianya Baginda Rasululullah yang dilahirkan pada hari Isnin sedangkan kita sebagai umat Islam sering sahaja mengeluh kalau hari Isnin tiba kerana tak sanggup menghadapinya di tempat kerja. Biasa hadapi kan?

Tahun kelahiran Baginda Rasulullah disebutkan sebagai Tahun Gajah kerana pada ketika itu adalah peristiwa di mana Raja Abrahah membawa tentera bergajah beliau untuk menyerang dan memusnahkan Kota Mekah dan Kaabah. Namun tentera bergajah itu telah dihancurkan pada ketika itu oleh burung ababil yang membawa seketul batu pada kakinya seperti yang diterangkan dalam Al Quran melalui surah Al Fil  yang bermaksud :
"Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera Gajah?. Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasukan. Yang melontar mereka dengan batu baru dari sejenis tanah yang dibakar keras. Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun - daun yang dimakan ulat" - Al Fil 1 - 5
Rasulullah S.A.W telah kehilangan isteri Baginda yang amat disayangi iaitu Siti Khadijah r.a yang sangat berjasa kepada Baginda dan merupakan satu kehilangan yang amat besar pada Rasulullah oada tahun tersebut hingga disebut tahun duka pada Rasululllah apabila turut ditinggalkan oleh bapa saudara Baginda yang turut meninggal dunia pada tahun itu.

Rasululllah yang telah diberikan dugaan yang maha hebat dalam menghadapi kaumnya hanya ditemani oleh sahabat Baginda yang setia Saidina Abu Bakar As Siddiq yang menjadi persaksian terhadap apa sahaja yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Dalam peristiwa penghijrahan Baginda Rasulullullah ke Kota Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah Al Munawarrah., Saidina Abu Bakar As Siddiq telah menjadi sahabat Baginda yang menyerahkan seluruh jiwa raganya untuk mepertahankan Rasulullullah sehingga satu peristiwa yang mahsyur apabila beliau disengat oleh lebah ketika berada dalam Gua Tsur semata mata tidak mahu Rasululullah disengat oleh binatang berbisa.

Rasululullah s.a.w telah diberikan sambutan yang hebat oleh penduduk Madinah sehinggakan Baginda berjaya membuka Kota Madinah yang merupakan Kerajaan Islam pertama di bawah Baginda Rasululullah yang telah menyatukan golongan ansar dan muhajirin. Sehingga kini amat istimewa peristiwa tersebut apabila penduduka Madinah bergurindam dengan Tolaalbadrualaina.

Baginda Rasulullah telah mempertahankan bumi Madinah apabila diserang oleh puak musyrikin dan telah pun terlibat dalam banyak peperangan dalam mempertahankan kerajaan Islam Madinah daripada tergugat hinggakan Rasululullah pernah terlibat dalam peperangan hebat yang mengakibatkan luka di badan Rasululullah dan yang paling mahyur dalam peperangan ini ialah peperangan Uhud yang telah mengkorbankan sekian banyak sahabat Rasulullullah termasuk Singa Allah iaitu Hamzah R.A.

Rasulullah kembali ke Kota Mekah dengan aman dan segerombolan umat Islam akhirnya dapat menawan Kota Melaka tampah pertumpahan darah pun dan akhirnya semua berhala yang ada di Kaabah dapat dihapuskan dan akhirnya jadilah Kota Mekah di mana Kaabah menjadi tempat yang akhirnya menjadi sebutan dan pusat kiblat kita seluruh penduduk manusia.

Pada haji terakhir Baginda Rasululullah s.a,w, Baginda telah pun bersabda dalam Khutbah terakhir baginda Rasululullah :

"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.  
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. 


Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. 
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.  
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.  
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.  
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.  
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.  
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.  
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.  
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "

Pada saat pengakhiran hayat Baginda Rasululullah s.a.w Baginda telah pun gering telah jatuh sakit tiga bulan selepas Baginda pulang ke Madinah selepas menunaikan haji terakhir. Rasulullah jatuh sakit dan berlarutan selama 10 hari dan akhirnya Baginda Rasululllah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal ketika Baginda berusia 63 tahun. 

Kini Rasulullah telahpun meninggalkan kita dengan pelbagai ajaran dan sunnah Baginda beeserta dengan Al Quran yang diturunkan untuk ummat Nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran Baginda yang telah membawa seribu rahmat kepada ummah manusia dan juga memberikan sinar kepada seluruh alam. Kehebatan Baginda dan pengorbanan sepanjang melaksanakan tugas dakwah yang telah disyariatkan telah mengusik seluruh ummah manusia dan memberikan impak yang sangat besar.

Sebagai ummat Nabi Muhammad s.a.w, perlulah kita sentiasa menyelusuri sirah Baginda Rasulullullah s.a.w dan sentiasa berselawat kepada Baginda. Sedangkan Allah turut berselawat ke atas Baginda apatah lagi kita hanya sebagai hambaNya. Kenangkanlah pengorbanan dan segala yang telah diberikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),  serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)"  - Surah Ali `Imran: 110
Saya tinggalkan hadirin pembaca dengan sebuah tazkirah ringkas dari Ustaz Don Bin Daniyal bertajuk Saat Saat Akhir Kewafatan Rasulullah s.a.w.



Selawat dan salam pada Rasululullah s.a.w.

Hamli Hamdan 
Armly
11 Januari 2014


Kita basah dalam peluh
Mengeluh lelah mengejar masa itu
Tak pantas untuk menuruti hawa dunia
Sedang nyawa tak tentu hujung mana
Kapankah resah tatkala jiwa ini kosong akan hilang
Apakah akan terus kosong dan tak berpenghuni
Tatkala si pencabut nyawa sedang menunggu

Jalan ini masih panjang
Tapi kaki ini makin perlahan langkahnya
Tak pasti benar aku lelah atau ingin cepat kepadaNya
Sedang tak pasti mana timbangan yang membawaku

Fitrah manusia menghamba padaMu
Gejolak hati penat menyelusuri jalan noda
Penat dan lelah wahai Tuhanku
Takut tak sempat bertemuMu di batas waktu..

Benar Ya Tuhan
Jalan ini masih panjang..
Sehingga bertemuMu. .


Armly 
Januari 2014
Isu yang timbul sejak rampasan Bible oleh JAIS pada baru baru ini membuka satu peristiwa penting sejak 2014 membuka tirai. Polimik menggunakan kalimah Allah di dalam gereja telah melanggar keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya tentang larangan menggunakan kalimah Allah oleh bukan Islam. Perkara ini turut ditekankan berkali kali oleh Sultan Selangor supaya rakyat akur dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Sebagai penaung yang menaungi agama Islam di negeri Selangor, nampaknya apa yang dihadapi oleh Tuanku Sultan tidak pernah terjadi dari zaman ayahanda Sultan dan moyang beliau. Perkara yang mula menggugat institusi agama seperti JAIS yang berada terus dibawah kendalian Tuanku Sultan.

Banyak polimik cabaran berlaku sejak kebebasan diberikan atas nama hak asasi manusia. Perkara 11 Perlembagaan Malaysia telah disalah tafsir dan cadangan daripada beberapa ahli parlimen bukan Islam untuk mengkaji undang undang dan Perlembagaan Malaysia untuk membolehkan pengembangan agama lain pasti akam menggugat keharmonian kaum yang dicapai selama ini. Isu sensitif seperti jumlah mereka yang memohon keluar agama Islam dan menjadi murtad mula dikesampingkan akibat manipulasi isu oleh ahli politik dan mereka yang berkepentingan. Ini menjadikan beberapa pihak pula menangguk di air keruh hanya tersenyum melihat kekalutan ummat islam yang mula berpecah belah.

Sejarah kejatuhan kerajaan Andalusia dan kejatuhan empayar Uthmaniah di Turki pada satu masa dahulu tidak dijadikan iktibar oleh kita. Akhirnya yang menanggung akibat ini kalau bukan kita pasti generasi akan datang, anak anak kita yang bakal menghadapi cabaran untuk memperjuang dan memperkasakan agama Islam dan perkembangannya di Malaysia.
Di dalam kitab Al Quran, Allah telah berfirman :

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa jahiliyaj) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara" - Al Imran :103


Nikmat keamanan dan bersatu sangat mahal nilainya. Walaupun generasi sekarang tidak berminat dengan sejarah, kita perlu sedar jatuh bangun satu kaum itu adalah dari sejauh mana kita belajar dari kesilapan yang pernah dilakukan dahulu. Sejarah itu sifatnya berulang ulang dan ia pastinya akan sentiasa berlaku. Bila kita tak kaji kelemahan yang pernah kita buat dahulu pastinya kita lebih terdorong untuk melakukannya kembali.  

Berbalik kepada isu rampasan Bible dan Polimik yang bermula kembali tentang penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja ini, saya menjangkakan isu ini akan terus dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan.  Cara yang paling utama yang boleh mengatasi masalah ini adalah tolenrasi diantara kita dan perlu ada dialog harmoni di antara agama Islam dan Kristian untuk mencari titik persamaan tanpa perlu menjejaskan mana mana pihak. Perbincangan ini mestilah dijauhi dari mana mana unsur politik dan semua yang terlibat harus ikhlas dan jujur. 

Namun seperti juga Islam, pihak gereja juga pasti tidak mahu kalah dalam isu ini.
Masalah yang sangat menggusarkan kita ialah pasti ada pihak yang mahu melihat isu ini dari segi kepentingan politik. Sekiranya sikap ini berterusan kita tidak akan dapat mencari titik persamaan dan masalah ini akan terus membarah dalam masyarakat kita.

Islam adalah agama perdamaian. Mari kita semarakkan relevansi dialog harmoni yang mampu menyelesaikan konflik ini dari terus berlanjutan.


Hamli Hamdan
Armly
8 Januari 2014

Ada manusia yang tidak mahu lagi menggunakan apa yang telah disampaikan oleh Allah dalam Al Quran dan Hadith sebaliknya terlalu mendewa dewakan pelbagai pemikiran asing dari pelbagai tokoh yang hidup sejak dulu. Segala falsafah dan kata kata yang dapat menunjukkan daya intelektual yang tinggi menyebabkan untuk menggunakan Kalamullah tidak nampak hebat kerana tidak mendokong kata kata aspirasi "boombastik" yang mampu mengkagumkan kalangan pendengar yang pasti akan terpesona lantaran pemilihan ayat ayat yang menunjukkan bahawa daya intelektual nya tinggi. Tiada lagi memetik kisah kisah Rasululullah dan sahabat Baginda yang telah mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran yang datang ketika menyampaikan dakwah. Cerita cerita yang membesarkan perjuangan sahabat Baginda tidak lagi menarik minat untuk merasakan betapa kerdilnya diri dalam perjuangan hidup di zaman yang serba mencabar ini. 

Apa yang terkandung dalam Al Quran dan Hadith serta kisah kisah sahabat Baginda s.a.w adalah satu dorongan untuk manusia berfikir. Di dalam Al Quran tidak terdapat satu hukum yang bersifat melumpuhkan akal manusia supaya berfikir.. Bukankah ketika Nabi Ibrahim a.s tercari cari siapakah Tuhannya, Nabi Ibrahim telah memandang pada bulan, matahari dan pelbagai lagi yang disangkakan itulah Tuhan. Betapa Nabi Ibrahim dalam pencariannya terhadap siapa Tuhannya telah memberikan makna bahawa Islam menggalakkan manusia berfikir. 

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang". - An' Am : 76
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". - Surah An' Am : 77  
Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). - Surah An' Am : 78 

Namun begitu dengan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w yang telah diturunkan Al Quran sebagai panduan kepada ummatnya telah memberikan satu penyelesaian seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam FirmanNya :

"Pada hari ini (hari Arafah 10 hijraj) Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu Din kamu dan Aku sempurnakan nikmatKu ke atas kamu dan Aku redha Islam sebagai Din kamu " - Al Maidah : 3

Jadi bagaimanakah kiranya apabila kita lebih menyanjung semua pendapat dan tulisan yang kita seolah olah menjadikan sebagai sumber utama kepada rujukan dalam pencarian ilmu Allah yang luas ini. Kandungan makna dalam Al Quran tiada satu perkara pun yang merintangi akal untuk mencari pelbagai ilmu yang sangat luas sifatnya. Tak salah mencari ilmu dan berfikir asalkan masih dalam ruang lingkup yang benar dan dipandu oleh para agamawan.

Telahpun Allah nyatakan dalam FirmanNya :

"Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja iaitu hendaklah kamu bersungguh-sungguh mencari kebenaran keramna Allah semata mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri : kemudian hendaklah kamu berfkir sematang -matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)" - Surah Saba : 46

Jangan bangga dengan segala pendapat yang kita dapat dan kutip dari makhluk yang turut dijadikan oleh Allah dan pastinya mempunyai daya pemikiran yang tidak sempurna. Jangan bangga dan angkuh dengan pendapat sendiri dan menenggelamkan pendapat orang lain. Ada orang yang dikurniakan Allah dengan kelebihan mampu berhujah. Kadangkala walaupun senatero alam tahu apa yang dihujahkan tu sangat menyimpang, tapi oleh kerana kelebihan yang Allah beri itu mampu untuk beliau menegakkan yang batil. 


Orang yang tidak menjawab dan berdiam diri itu bukanlah bermaksud tidak benar dan kalah. Dalam Sabda Rasulullullah s.a.w dalam menyatakan tentang ini ialah : 

"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya" - Hadith 

Kalau akhlak Rasulullah manusia paling agung lembut tutur bicara, berakhlak, beradab dan berhemah dalam hidupnya, apa alasan kita untuk jadi yang kasar tidak beradab dan berlawanan dengan sifatnya?

Bangkang jangan sampai terkangkang... Puji jangan sampai mati..

Berguru dengan guru, bukan dengan buku.. logik dengan Al Quran bukan dengan akal semata. Pasti dipandu Rabbul alamin..


Hamli Hamdan (Armly)
7 Januari 2014