Assalamualaikum w.b.t. Dalam menjalankan kerja dakwah dan amal masyarakat, banyak sungguh mereka yang terjun dalam bidang gerakan ini dan terus automatik menjadi seorang Ustaz Ustazah tanpa perlu menjadi mereka yang mahir dalam bidang ini. Bila disebut tentang ini alasan yang paling utama ialah semua orang berhak bercakap tentang agama kerana semua orang itu beragama Islam dan pastinya mereka lebih mahir tentang agama berbanding mereka yang bukan beragama Islam. Ada pada satu ketikanya juga oleh kerana merasakan telah diberikan hidayah oleh Allah dan berhijrah maka ini membolehkan mereka memberikan pelbagai dalil bagi menyokong hujah mereka dengan memetik beberapa ayat ayat Al Quran dan juga hadith dari Rasululullah s.a.w. Perkara ini telah lama saya perhatikan sejak terlibat dalam bidang amal kebajikan masyarakat berlandaskan NGO yang berprinsipkan Islam sebagai teras perjuangan.

Ada juga pendakwah amatur yang merasakan mereka mempunyai kekuatan berhujah dan Allah telah berikan kelebihan ini kepada mereka hingga apa sahaja yang mereka katakan akan diperakui oleh pendengar. Betul atau salah itu soal kedua asalkan mereka tidak dimalukan di khalayak ramai atau lebih kecilnya di khalayak pengikut di laman sosial seperti Facebook. Biasalah tu, kadang kadang saya sendiri berhadapan dengan perkara ini dan saya sering mengambil jalan untuk menerima pendapat orang lain tanpa perlu membantah apa yang telah diperjuangkan oleh mereka yang memberikan komentar terhadap apa yang dilontarkan.

Adakah dengan mengalah beerti kalah bagi seorang pendakwah yang berhadapan dengan pelbagai kerenah dari umum? Kalau setakat orang awam mungkin perkara ini tidak menjadi luar biasa pada pendapat saya. Tapi yang menjadi luar biasa ialah provokasi yang datang dari kalangan mereka yang melakukan kerja amal / pendakwah / daie ini kepada sesama daie. Perkara ini saya melihat dari aspek mereka cuba menguji sejauh mana bagus dan hebatnya sahabat Daie yang lain dan dengan ini memberikans kepuasan bila melihat Daie yang satu lagi mungkin terkebil kebil memberikan penjelasan ataupun melihat Daie tersebut sebagai seorang yang kalah dan tak cukup ilmunya. Perasaan bangga diri akan menyelinapi dalam diri seorang pendakwah yang ingin melihat pendakwah lainnya tidak berkeupayaan. Merasakan apa yang diperjuangkan olehnya lebih baik daripada yang diperjuangkan oleh Daie yang lain. Maka timbullah permusuhan dan pandangan serta lontaran idea dan kata kata yang sinis kepada daie yang lainnya.

Seumpama bagai susah untuk menyelusuri apa yang diperjuangkan oleh sesama Daie apabila ada sifat ini. Saya melihat dari banyak sudut apabila membaca dan menonton aksi Daie mengecam Daie lain dengan tujuan menguji ilmu sedangkan mereka sendiri tahu sifat itu menonjolkan rasa ujub, bongkak dan riak dalam diri mereka. Apalah salahnya kalau kita saling menyantuni usaha yang dilakukan oleh Daie lain dengan memberikan sokongan. Jika ada salah dan silap atau ingin ditegur kenapa tidak dilakukan dengan cara berbincang dan sama sama memberikan pandangan bila bertemu. Lebih baik bila ada usaha saling bantu membantu untuk sama sama memartabatkan agama Allah ini. 

Bagi saya jika boleh Daie yang mungkin dipandang sinis oleh Daie lain yang sinis terhadap usaha anda dalam kerja agama, lebih baik mengalah sahaja dan teruskan kerja anda yang anda percaya kerana pastinya anda akan tahu apa yang anda perjuangkan sekiranya terus belajar dan belajar. Sedangkan Rasululullah s.a.w sendiri bertanya pendapat para sahabat sekiranya ianya selain dari Firman Allah s.w.t. apatah lagi kita ini yang hanyalah menyambung kerja kerja dari sahabat sahabat terdahulu.

Catatan : ”Barangsiapa yang merendahkan diri, maka Allah akan mengangkat derajatnya. Dan barangsiapa yang sombong, maka Allah akan merendahkanya.” ... ”Barangsiapa yang mengagungkan dirinya dan sombong dalam cara jalanya, maka dia akan menemui Allah, sedangkan Allah akan murka padanya.” (HR. Ahmad).


Arm Ly
(Dinamakan Hamli Bin Saadiah)
19 Ogos 2014

www.mahabbahfillah.com

Dunia ini bukan semestinya indah
Kadangkala kita gundah
Adakala hingga punah ranah
Hanya kedengaran desah resah
Bila hati tak ditarbiah

Kadang jatuh ku redahi jua
Walaupun hingga ke hujung dunia
Ketenangan itu tak kunjung tiba

Pelukan cintaMu kadang terasa jauh
Hingga buat aku mengeluh
Adakah aku ditinggalkan menjauh..

Bila hati tak tercantum dengan Cinta
Aku umpama bangkai bernyawa
Jika tidak kau berikan cahaya
Kemanakah kaki ini mengarah..

Jangan kau biarkan aku dalam mengah..
Setelah kau beri hidayah..
Aku tak mahu mengalah..
Selagi degup qalbu yang tak lelah

Dalam setiap detik nafas cintaku..
Ketagih pelukan cintaMu..

Armly
(Dinamakan Hamli Bin Saadiah di Loh Mahfuz)
14 Ogos 2014
www.mahabbahfillah.com

Dunia ini pastinya akan lebih indah jika sekiranya aku memahami bahawa aku memang ditakdirkan untuk mengembara di alam yang luas ini. Dalam kembara untuk aku lebih mengenali siapa penciptaku. Masa untuk aku bermujahadah menilai kembali penciptaku. Pastinya ia lebih mudah kerana aku memang dilahirkan sebagai seorang muslim sejak dari lahir. Tidak seperti Nabi Ibrahim a.s yang melihat bulan, melihat alam, melihat matahari dan mencari cari memandang makrifat sebenar siapakah Dia pencipta alam ini. Tapi nyatanya walaupun setelah diberikan petunjuk dan jalan, namun bukan semudah itu kita menjadi insan yang bersyukur. Mungkin mudah menjadi seorang yang sabar tapi amat susah untuk kita menjadi insan yang bersyukur dan ikhlas.

Pernah aku ditebak persoalan sejauh mana keikhlasan yang telah aku zahirkan melalui segala yang aku lakukan selama ini. Adakah ianya sekadar kebertanggungjawaban aku sebagai seorang muslim yang menjumpai hidayah tatkala merasa amat lewat menerimanya. Allah, amatlah sukar untuk aku sendiri menilai keikhlasan yang ada di dalam hati ini. Sehingga aku sendiri pun masih was was dengan diri ini.

Betapa besar dan betapa kuatkah nilai cintaku padaNya? Adakah aku hanya bersandiwara dengan kopiah dikepala, berjubah putih dan berkain rida' dalam seharian hidupku. Atau sekadar cukup aku menjadi seorang manusia yang terpekik terlolong menjadi pejuang agama yang masih tidak mengenal diriku. Sering cuba untuk memangkah nafsu yang semakin memerit akhirnya tewas dalam pertempuran yang entahkan bila akan berpenghujung.

Sering sahaja aku melihat mereka mereka itu menjadi pejuang kalam Allah yang hebat hingga aku tertanya setakat manakah aku mampu untuk menjadi pejuang kalam Illahi? Sedang ketika paginya aku berjuang menegakkan kalam Illahi akhirnya kian dinihari mulai menjauhi. Ini bukan lah satu perkara yang boleh dibuat main kerana walaupun bukan munafik iktikad tapi hakikatnya kita semakin selesa dengan gelaran munafik amal.

Rasulullah bersabda : "Ya Allah aku harapkan rahmatMu.. Janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku walau sekelip mata"

Dan begitulah hakikatnya aku akan menyesali diri betapa aku tidak pandai menjaga diri.. Sekadar berdiri, menyesali diri dan dimamah tarikh tamat kini. Hakikatnya kita akan snetiasa berkirsisis dengan diri dan mencari cari apa yang hakikatnya menjadi kekosongan dalam jiwa. Mencari dimana Al syafie, dimana Al Ghazali tapi dimana mana ada pula Azazil.

Gelap... Memerah... Nun dihujung sana ku lihat sesosok tubuh yang menunggu begitu ramai insan yang sedang menyelusuri jambatan ini. Ada yang berlari, ada yang merangkak, ada yang berjalan.... Terpinga dalam kekalutan, baru tadi aku bermanifestasi dengan diriku tentang Aku dan Dia. Belum lagi Allah, aku belum sempat lagi dalam perjuanganku, aku belum lagi menjumpai dimana itu IKHLAS.. Aku terdesak dengan cinta dunia dan cinta fana. Aku masih lagi belum memulakan langkah kaki ini, harus bagaimana aku hendak melangkah ke titian ini..

Serasa aku ditolak kasar dengan jeritan JALANNNNNN!!!... Allah... belum lagi Allah.... belum lagi Allah....

ALLAH!!!

Aku menggosok mata pedih.. Terjaga dari lena. Simulasi diri selepas mati, saat segalanya tiada dan yang ada hanyalah aku dan Allah yang memegang nasib diriku.

Allah doesnt expect you to be perfect. He expects you to try your best to be as close as you can to perfection

Arml Ly
(Dinamakan Hamli Bin Saadiah di Loh Mahfuz)
8 Ogos 2014
www.mahabbahfillah.com

Assalamualaikum w.b.t. Sebenarnya agak lama sangat saya telah dijemput oeh aktivis yang sngat dikenali dengan golongan asnaf orang asli di sekitar Selangor iaitu Encik Azlan Sharif untuk menyertai program yang dijalankan oleh beliau. Namun disebabkan banyak sangat kekangan masa disamping saya sendiri yang banyak menguruskan jemaah PAFI maka amat lah susah untuk saya cari masa nak menyertai beliau. Sebelum ini ada juga saya menyertai program yang melibatkan kumpulan orang asli di Pulau Indah di Klang namun untuk program di Pulau Ketam ini adalah yang pertama saya sertai untuk menunjukkan sokongan terhadap semua program yang dijalankan oleh Encik Azlan. 

Jadi pada 12 Julai 2014 pada musim Ramadhan 1435 yang lalu saya ambil keputusan untuk menyertai beliau disebabkan ketika bulan itu saya sedaya upaya mengosongkan jadual pada tarikh tersebut. Saya juga hadir pada program tersebut bersama Timbalan Presiden PAFI, Cik Fazilah Amran. Perjalanan dimulakan dengan berkumpul di jeti Pulau Ketam dan ketika itu saya berjumpa dengan seorang pejuang yang dalam ketegori OKU tapi perjuangan beliau yang melangkaui hingga ke Palestine dan Afghanistan amat dikagumi. Dr Yusof yang juga merupakan seorang Doktor perubatan turut menyertai misi ini. 


Berjumpa dengan dua orang muallaf yang disebut sebut iaitu Ishak Hoo dan Muhammad Ng yangs sering disebut sebagai mereka yang sedang berjuang mengekalkan akidah mereka di Pulau Ketam. Walaupun agak menghadapi masalah berkomunikasi dengan mereka namun dari gaya mereka, nampak mereka sangat bahagia bila ada kumpulan yang datang menyertai program ini dan mengimarahkan Balai Islam Pulau Ketam.


Program ini turut dihadiri dengan mahasiswa dari UIAM PJ, KISDAR, KUIS dan juga sukarelawan yang pelbagai yang turut bersama dalam proram ini. Pada petang tersebut, kami membahagikan peserta kepada beberapa kumpulan yang kemudian diberikan tugas dan berjalan di sekitar Pulau Ketam. Kemudian sebaik pulang sebelum menjamu selera berbuka puasa mereka dikehendaki membentangkan semua arahan yang telah diberikan. 


Dalam menjalankan misi dakwah ini, kebanyakan peserta diuji dengan masalah air yang tidak ada di Pulau Ketam akibat daripada paip pecah di dasar laut dan ketika itu sudah hampir sebulan air tidak ada di Pulau Ketam. Walaupun agak mencabar tapi mereka telah berjaya mengharungi cabaran ini. Berbuka puasa seterusnya menunaikan solat berjemaah dengan tarawikh adalah merupakan satu kenangan yang saat indah terutamanya bersemangat apabila kami melihat semangat adik adik mahasiswa yang sepenuh hati melupakan ketidaksenangan dengan tidak mandi nya.

Pada malam tersebut telah banyak diskusi yang dibuat dan dengan santai di program tersebut. Cuma pada malam tersebut lewat malam saya difahamkan peserta berjalan jalan makan di kedai Indonesia muslim sehingga lewat 2 pagi. Saya pula ketika itu agak tidak sihat memilih untuk tidur pada jam 11 malam


Pada pagi selepas Subuh, semua peserta diminta untuk memberikan tazkirah ringkas dari sedutan ayat Al Quran atau Hadith dan ini disampaikan dengan baik oleh semua para peserta. Saya agak terpegun dengan kepetahan adik adik ini berbicara dengan pelbagai sedutan kisah kisah Rasul dan sahabat serta huraian ayat Al Quran yang sangat baik. 

Usai pagi tersebut, kami semua bertolak balik ke rumah masing masing. Terima kasih pada semua yang menjayakan dan sekalung tahniah untuk Encik Azlan Sharif yang konsisten mendepani isu komuniti asnaf dan orang asli di pedalaman Selangor. Jazakallah..

Arm Ly
3 Ogos 2014