Seronok untuk mengulas satu dokumen dari BTN (Biro Tatanegara) yang terlepas ke pengetahuan umum melalui laman web social BTN mengenai bahayanya golongan yang disebut sebagai penulis Indie yang bakal menghancurkan Negara dan kepimpinan pada masa hadapan. Golongan penulis Indie disebut sebagai golongan yang boleh mempengaruhi minda para remaja dan belia dengan mengutarakan pendapat dan kritikan yang akhirnya akan meruntuhkan Negara. Sahabat penulis dan aktivis teater Aloy Paradoks sangat sinis dengan mengatakan bahawa dia hanya pelakon teater sahaja takkan sampai digelar sebagai orang yang mampu menguhuru harakan Negara.

Sangatlah tidak boleh diterima akal apabila BTN mengambil satu langkah ke belakang dengan mengkritik daya intelektual penulis muda yang semakin kritis dengan idea dan pandangan mereka tentang apa sahaja isu yang bermain dalam masyarakat dan juga Negara. Adalah juga tidak patut menjadi satu perdebatan apabila mahukan semua pendapat dan penulisan yang ditulis oleh pemikir muda harus sentiasa menyebelahi kerajaan. Seperti mana dalam Islam kita disarankan dengan prinsip Amar Maruf Nahi Mungkar. Dimana dengan prinsip yang diajar dari kecil dahulu, kita sedar bahawa sekiranya ternampak perkara mungkar harus ditegah. Sebaliknya jika perkara itu bermanfaat haruslah disokong dan ditolong oleh semua lapisan masyarakat dan rakyat untuk menjayakan agenda itu.

Apa yang menjadi perdebatan ialah setiap tindak tanduk pemerintah itu sendiri yang mengundang kepada kritikan dan penulisan oleh penulis indie. Penulis indie tidak terikat dengan peraturan dan bebas untuk mengutarakan pendapat terhadap apa juga isu. Tidak dinafikan pasca PRU 13 dengan menunjukkan kejatuhan sokongan kepada Barisan Nasional dan peningkatan sokongan kepada Pakatan Rakyat turut menyumbang kepada lahirnya ramai penulis indie yang berfungsi sebagai pengkritik kepada kerajaan. Tapi jangan juga lupa bahawa penulis indie juga ada terdiri daripada mereka yang menyokong aspirasi kerajaan. Ini dibuktikan dengan kewujudan banyak blog dan laman web yang turut memberikan pandangan bagi cadangan penambahbaikan dalam Negara kita yang tercinta ini.

Tapi kita juga dihambat dengan penulis yang ditaja oleh pelbagai proksi yang mengambil kesempatan dari kesempitan pemikiran dan intelektual rakyat. Antaranya bila rakyat dihambat dengan persoalan perdebatan liberalisme dan Islamis maka muncullah begitu ramai golongan penulis yang membawa mazhab untuk ditontonkan pada masyarakat.

Anak muda sekarang sifatnya suka mengkritik dan melawan. BTN tidak faham itu. Api dilawannya dengan Api.. Akhirnya yang terbakar, Negaraku sendiri.

Hamli Hamdan
#pafi #amalfirdausi



Entah kenapa sejak dari semalam saya banyak membaca balik beberapa post rakan pejuang saya dalam bidang komuniti yang menjadi insipirasi saya untuk terus berada dalam bidang perjuangan ini. Isu HIV / AIDS sangat tidak ‘glamour’ dan antara subjek yang susah untuk mendapat tajaan dan bantuan daripada sector korporat. Bukan mudah juga untuk memahamkan jabatan kerajaan waima dari jabatan yang berkaitan dengan kesihatan sekalipun. Kalau nak buat teater pun orang akan minta supaya ada adegan tangisan yang meruntun hati dan sering sahaja bila saya buat filem pendek semua akan mencadangkan yang akhirnya penghidp HIV itu akan mati menderita dengan muka yang berkudis dan pelbagai lagi lah. Saya senyum sendirian. Besar benar pengaruh CELAKARAMA dalam hidup masyarakat Malaysia ni bila berkaitan dengan PLHIV (People Living With HIV). 

Sering sahaja digambarkan bahawa bila seseorang itu menghidap HIV dia akan dijangkiti hari ini, esok nya akan naik kulat di muka, terus dalam masa satu hari jadi kurus, makin lemah, digambarkan sebagai golongan yang sangat berdosa di dunia dan seterusnya mati pada hari ke tiga. Tak pernah pula ditunjukkan seperti dokumentari dan filem seperti di barat bahawa apabila seseorang PLHIV itu terkena jangkitan HIV dia akan mempunyai semangat yang tinggi untuk meneruskan perjuangan dalam hidup. Semakin dia berkeyakinan dan akhirnya menjadi ikon dalam hidup masyarakat.

Di Malaysia sendiri terdapat satu anjakan paradigm baru apabila golongan PLHIV kini berani ke hadapan dan menjadi jurucakap dalam bidang tersebut. Masih lagi dalam ruangan dan ruang yang tertutup kerana masih ada lagi diskriminasi dan stigma terhadap PLHIV. Beberapa nama yang semakin dikenali dalam bidang ini dan ada yang telah pun pergi dalam perjuangan (bukan tewas dalam perjuangan!) dan masih ada yang mengumpul kekuatan dalam kesamaran untuk membantu komuniti lain. Jumlah PLHIV yang mengjangkau angka 100 ribu orang (yang berdaftar dengan KKM) memang sangat memerlukan perhatian yang khusus dari NGO yang bekerja siang dan malam tanpa gaji untuk menyambung kesinambungan hidup.

Dan jika seorang demi seorang pejuang tumpas, samaada yang pergi menemui Yang Maha Pencipta ataupun kandas di tengah jalan, jangan lah hanya menyalahkan mereka ini sahaja. Salahkan diri sendiri kerana terus berharap yang beberapa kerat ini menanggung beban ribuan komuniti. Sekiranya satu hari nanti hilang hingga tandus pejuang ini, itulah sebenarnya Armageddon untuk PLHIV itu sebenarnya.

DIKSRIMINASI DAN STIGMA adalah PEMBUNUH sebenar. Bukan HIV itu sendiri. 

# Pertubuhan Amal Firdausi - PAFI​ Kuala Lumpur Dan Selangor (PAFI) merupakan salah satu NGO yang menggunakan pendekatan Islam dan nilai nilai murni untuk menyantuni Mustadáfin yang mana PLHIV adalah salah satu daripada golongan Asnaf yang perlu mendapat pembelaan dari pemerintah dan masyarakat. #pafi #amalfirdausi

Saya paling suka bila ada pengumuman dari kerajaan tentang bonus ataupun kakitangan awam akan mendapat imbuhan dari majikan mereka itu. Selalunya saya akan terus membaca bahagian komen komen daripada pengunjung media social terutamanya di Facebook. Biasanya kakitangan swasta akan mengutuk kakitangan awam. Yang kakitangan awam akan mempertahankan apa yang mereka dapat itu adalah yang patut mereka dapat. Kalau boleh nak tambah lagi sebab tak cukup. Yerlah zaman GST lah harga minyak naik lah semua ini akan memberi tekanan. Si peniaga akan tersenyum gembira sebab aka nada alasan menaikkan harga lagi. Golongan asnaf dan orang miskin akan tembah tepuk dahi lagi sebab sudah dapat agak apa akan terjadi pada harga barang. Ekonomi dijangka akan terus berkembang sepanjang bulan Ramadhan dan Hari Raya kerana rakyat akan berbelanja habis habisan. Sepanjang 2 bulan ini rungutan tentang GST akan kehilangan bunyi kerana masing masing akan mempertahankan keperluan untuk membeli barang itu dan ini. Tapi yang nyata tidak berubah aka nada rungutan di mana mana sahaja. Ketika membeli, peniaga akan dimarahi pembeli, ketika menjual peniaga akan merungut bahawa terpaksa menanggung kos lebih kerana pembekal meletakkan harga yang tinggi dan seterusnya rungutan ini akan terus menerus diucapkan.

Di dalam media social, netizen akan terus merungut harga barang mahal tapi terus menayangkan gambar tiket Air Asia ke Phuket, Krabi atau Indonesia. Katanya sebab nak jimat kos pergi ke Negara yang murah belanjanya. Kenapa tak pergi dalam negeri? Mahal lah GST lah itu dan ini alasannya. Sedangkan di Indonesia dan Negara Asia lain pun ada GST juga. Merungut lagi kena lah melayan kehendak diri untuk rasa diri dimanjai. Merungut lagi, perkhidmatan kapal terbang tidak bagus, KLIA jauh, taka da bas, parking mahal dan pelbagai lagi.

Merungut lagi nak pergi kerja, LRT penuh sesak. Apa puny bala terlepas 4 kali LRT sebab terlalu penuh. Disalahkan pada pemerintah lagi system perkhidmatan awam yang tidak efisien. Sedangkan tahu masuk kerja jam 9 pagi tapi keluar rumah jam 8 pagi. Merungut lagi nak hantar anak, Subuh masuk lambat, jalan jem, parking kena bayar dan itu ini. Naik LRT dapat merungut lagi tempat duduk taka da, penat berdiri, ada pulak Bangladesh ketiak dia bau busuk. Marah lagi.. Dan lagi dan lagi…


Mari merungut Malaysia.. Hari Hari adalah HARI MERUNGUT MALAYSIA! Selamat MERUNGUT!

ANTARA LILIN DAN LAMPU NEON

Mengeluh, mengeluh dan mengeluh. Antara bunyi bunyian umpama langau yang menghurung makanan yang busuk. Itulah yang boleh saya katakan dengar setiap hari dari kalangan kawan kawan, jiran mahupun ketika naik LRT dan juga di kedai makan. Mengeluh umpama zikir yang digantikan disulami dengan cercaan dan sindiran tajam ditambah dengan fitnah rangkaian dari mulut ke mulut mengalahkan kabel fiber optik yang menghantar data dalam dunia Internet.

Tentulah saya bercakap tentang keluhan mengenai ekonomi, hidup yang susah dan terbeban serta betapa tidak adilnya dunia bila yang kaya bertambah kaya dan miskin bertambah miskin. Rasanya bukan sekali dua saya menegur tentang tidak elok mengeluh setiap hari bimbang Allah akan ketegorikan kita sebagai kufur nikmat. Tapi tak pula saya lihat mereka mengambil langkah untuk memajukan diri mereka. Saya sendiri pernah disindir gara gara menyambung pelajaran di peringkat Ijazah dan Sarjana dalam bidang Media dan Komunikasi sedangkan pekerjaan saya dalam bidang ekonomi dan kewangan. Selalu juga saya terangkan pada mereka bahawa saya belajar bukan untuk naik pangkat tetapi untuk mengetuk potensi diri dan menjadi seorang yang mahir dalam bidang media dan komunikasi.

Banyak kali juga melalui penulisan dan juga perkongsian idea di dalam sesi bual bicara saya tidak berkira untuk menyertainya tanpa sebarang bayaran. Mungkin saya sudah terbiasa bergerak dalam NGO sejak dari dahulu lagi membuatkan saya rasa tiada kebahagiaan dan keindahan dalam hidup ini selain daripada membantu manusia lain dan menyampaikan buah fikiran. Untung untung nanti bisa menjadi panduan kalau tak banyak, sebesar zarah mungkin.

Lilin yang dinyalakan api membakar diri. Tapi tak salah kalau menggunakan lampu neon untuk menerangi hidup orang lain. Kalau sudah punyai alternatif apa guna lilin lagi. Tapi langit tak selalu cerah, lilin juga perlu disimpan rapi di satu tempat supaya satu hari nanti bila elektrik tiada ataupun lampu neon terbakar, masih ada lilin untuk menerangi diri dan orang lain.

Terpulang pada kita.. Mahu memberi, menerima atau melihat sahaja. #pafi #amalirdausi

Hamli Hamdan

MAMAT & MINAH COPY PASTE

Untuk menjadi kekal abadi hanya dengan menulis dan membukukan segala hasil penulisan kita. Dengan menjadikan penulisan ini sebagai satu perkara harian yang menjadi kewajiban kita maka idea kita akan sentiasa menjadi rujukan oleh banyak pihak. Selalu sahaja melihat ramai pengguna media suka untuk “kopi dan pasta”apa sahaja maklumat yang mereka baca di dalam internet terutamanya dengan ‘share’apa sahaja yang dirasakan menarik tanpa perlu merujuk berdasarkan sumber adakah benar ataupun tidak. Saya sendiri secara peribadi sangat tidak suka ‘share’apa jua status ataupun gambar yang tidak memberi apa apa makna terhadap daya kreativiti seorang manusia dalam menulis.

Seperti kata Sasterawan Negara Dato A Samad Said yang menyatakan bahawa untuk menjadi seorang yang ideanya kritis dan boleh menulis ada 5 perkara yang perlu dibuat iaitu BACA, BACA, BACA, BACA dan TULIS. Orang yang hanya berminat ‘share’apa sahaja tanpa mengambil inisiatif untuk mengkritik ataupun menulis kembali apa yang dibaca adalah orang yang tidak mampu mengembangkan diri mereka. Saya berpendapat diri kita mempunyai banyak potensi untuk diketengahkan dan juga percaya bahawa setiap dari kita  mempunyai pandangan dan pendapat sendiri untuk diketengahkan. Salah atau betul bukan isunya. Isunya ialah bagaimana kita mengembangkan idea itu menjadi lebih menarik mengikut kefahaman diri kita.

Contoh sekiranya anda berminat tentang isu semasa, memetik satu artikel yang di baca di laman web, blog ataupun akhbar anda boleh membuat penilaian dan menulis pendapat tentang isu yang dibangkitkan itu. Bukan sekadar ‘share’tetapi mesti harus juga menilai. Bukan jadi orang yang apabila ditanya apakah yang dikongsi bersama pengguna media social tidak mampu untuk memberi penerangan dan ayat paling popular ialah “Saya share je, betul tak betul tu entahlah..”

Jadi kalau saya terima jawapan kepada soalan seperti itu dari pengguna media sosial lain, saya selalunya akan tekan butang ‘hide’ sahaja supaya saya tidak membaca lagi 'copy paste mereka itu'. Kerana langsung tak membantu pengembangan idealisme itu sendiri. Selamat minum kopi dan pasta ya!"

Hamli Hamdan #pafi #amalfirdausi