Assalamualaikum w.b.t.
Dunia blog bukan satu perkara yang asing bagi saya yang telahpun memulakan hampir berbelas blog yang berasaskan hiburan, motivasi dan juga yang berkaitan dengan gerak kerja yang berkaitan dengan komuniti teringgir. Namun demikian setelah beberapa lama tanpa menggunakan identiti yang tersendiri, saya merasakan sudah tiba masanya untuk terus menguruskan satu blog yang mempunyai domainnya yang tersendiri dan menunjukkan bahawa saya serius dalam memberi perkongsian di dalam dunia blog terutamanya yang berkaitan dengan isu isu berkaitan komuniti terpinggir.
![]() |
Aktivi Terbaru Bulan Julai 2013 PAFI ' "Pengkisahan Cinta Allah & Rasul" bersama Ustaz Robby Zaid Tandang di Dewan Hadhari Pusat Islam Kuala Lumpur |
Kewujudan laman web PAFI (Pertubuhan Amal Firdausi Kuala Lumpur) dan juga kumpulan usrah online di Usrah PAFI Taman Firdausi tidak memungkinkan untuk saya memberi perkongsian yang begitu banyak di dalam medium tersebut, Menulis dalam penulisan yang begitu panjang di dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter tidak memadai dan banyak perkara yang tidak dapat dikongsikan bersama sahabat sahabat saya yang telah banyak meminta supaya diwujudkan satu blog yang mewakili apa yang saya lihat disekeliling terutamanya yang berkaitan dengan isu komuniti terpinggir.
Apakah yang dikatakan dengan isu isu yang berkait dengan komuniti terpinggir? Saya mengakui bahawa sepanjang melibatkan diri dalam isu ini nampaknya masih tidak cukup untuk menyelami apa sebenarnya yang bermain di fikiran golongan ini. Sebagai sebuah pertubuhan yang menjalankan gerak kerja dengan memfokuskan kepada isu ini, saya bersama seluruh sahabat saya dalam team PAFI mempunyai banyak perkara untuk dikongsikan bersama.
Antaranya dengan mewujudkan Usrah online dan juga usrah secara bersemuka yang dijalankan di Pusat Islam Kuala Lumpur dan juga di Bilik Kuliah Masjid Jamek Kuala Lumpur. Di medan ini lah kami berkongsi pendapat tentang menggunakan cara yang terbaik untuk turut sama membantu umat Islam dalam memberikan nilai tambah yang baik untuk masyarakat kita.
Saya percaya sekiranya kita diberi peluang dan ruang, kumpulan yang hanya memfokuskan kepada kepentingan ummah (golongan komuniti teringgir) ini dapat memberikan perspektif yang berbeza dan positif kepada masyarakat. Perit bila melihat pandangan masyarakat yang agak skeptikal kepada golongan komuniti terpinggir.
Antara isu yang telah sekian lama diperjuangkan oleh PAFI ialah isu yang berkait dengan golongan gelandangan, isu komuniti PLHIV (People Living With HIV), pengguna dadah, pekerja seks, keruntuhan akhlak belia dan pelbagai lagi. PAFI sangat mementingkan pembelajaran asas seperti Fardhu Ain hinggakan beberapa kelas utama kita hanya di sekitar bagaimana mendirikan solat, bersuci dan sebagainya. Ini adalah pendekatan yang sangat asas team PAFI lakukan kerana kami sedar kami tidak mampu bersaing dengan NGO NGO besar yang berperanan lebih luas hingga ke peringkat antarabangsa dan nasional. Namun demikian kami berperanan sebagai grass root yang mampu memberikan nilai tambah kepada keseluruhan komuniti terpinggir.
Banyak aktiviti yang berterusan kami lakukan dan sangat berharap agar sahabat sahabat pembaca blog dapat memberikan komen dan juga menyertai program kami di masa akan datang.
Wallahualam..
"Be Positive! Act Positive"
Armly
0 comments:
Post a Comment