Travelog Tanah Suci

TRAVELOG UMRAH:
PERJALANAN MENCARI TUHAN...

(Catatan Pengembaraan Umrah di Tanah Suci Mekah Al Mukarramah dan Madinah al Minawarrah kelolaan Andalusia Travel Sdn Bhd – 17 Februari 2011 – 2 Mac 2011. Penulisan ini ditulis ketika berada di tanah suci untuk memastikan tiada satu pun pengalaman yang tertinggal di sini..)


Perjalanan Pun Bermula

Ini merupakan kali pertama aku dan ibuku pergi ke tanah suci. Panggilan telefon pada 14 Februari 2011 mengesahkan bahawa aku dan ibuku disahkan dapat menunaikan umrah pada 17 Februari 2011 amat menggembirakan aku. Sebenarnya memang sepatutnya kami bertolak pada 17hb itu, tapi oleh kerana pergolakan kuasa di Mesir dan kejatuhan Hosni Mubarak sedikit merungsingkan kami apabila dikatakan kerajaan arab Saudi masih tidak keluarkan visa untuk kami. Ada juga versi lain yang mengatakan arab Saudi tidak keluarkan visa oleh sebab pihak muassasah di Mekah tidak dapat menguruskan pembayaran dengan baik. Mana satu pun aku bersyukur kepada Allah kerana dapat juga akhirnya kami visa tersebut dan terus menyiapkan diri untuk ke rumah Allah. Aku tahu bukan senang untuk menjadi tetamu Allah. Walaupun kadangkala ada orang itu banyak duit dan kaya, tapi kalau Allah belum panggil tentu tak sampai lagi ke tanah haram ini.

17 Februari 2011 pagi jam 4 pagi keluarga kami menghantar aku dan ibuku ke KLIA. Sudah ternampak jemaah lain sudahpun mengunggu. Ustaz Kamaruddin yang merupakan Ketua Rombongan kami mengakui bahawa tentunya ramai yang tidak tidur malam itu dengan nyenyak. Mana taknya kalau semua dah excited nak datang ke Mekah. Aku sendiri pun dah berminggu-minggu mengira hari masa untuk sampai ke tanah suci ini.

Penerbangan jam 8 pagi daripada KLIA menaiki Garuda Indonesia berhenti di lapangan terbang Jakarta untuk transit. Kami bertemu dengan jemaah lain dari Indonesia yang turut sama akan ke Jeddah. Eloknya mereka semua berpakaian seragam yang diberikan oleh travel agent mereka. Tapi kami difahamkan bahawa mereka akan terus ke Madinah.

Perjalanan selama 10 jam menaiki Garuda Indonesia dengan menaiki pesawat yang cukup besar dijangka membawa lebih 1000 orang ke dalam pesawat tersebut. Aku telahpun berpakaian ihram di Jakarta dan tak sempat nak mandi sunat ihram berikutan tandas yang amat kecil dan tak ada tempat mandi. Tapi tak apalah itupun sunat saja. Di dalam penerbangan tu kerja aku makan, tidor.. makan pstu tidor..  Ye lah nak buat apa lagi pun kat dalam flight tu.. Pertama kali aku naik flight yang begitu jauh dan begitu lama sekali.

Kami memasuki ruang udara di mana kami sudah boleh bermiqat untuk ihram. 1 jam sebelum sampai ke Jeddah kami sudah perlu berniat ihram. Sudahpun niat ihram kami terus bertalbiah. Subhanallah maha suci Allah, hatiku meruntun-runtun ingin sangat cepat sampai ke depan Kaabah. Aku rasa terlalu teruja. “Ya Allah... Aku datang Ya Allah... Aku datang ni... “ bisik hati kecil aku dengan mata yang mula berkaca.

JEDDAH

Lapangan terbang Jeddah sudah kelihatan. Garuda Indonesia mula mendarat ke landasan. Sebaik sahaja pintu kapal terbang dibuka dan aku keluar ke pintunya, menderu angin dengan cuaca 26 darjah celcius. Waktu kami sampai tu jam di Saudi menunjukkan jam 6.08 petang. Kelakar juga sebab kami tinggalkan siang dan sampai pun pada waktu siang. Perbezaan waktu Malaysia dan Saudi adalah 4 jam.

Imigresen di Jeddah agak ketat sikit tapi Alhamdulillah aku dan ibu dapat keluar dengan cepat, Manakala ada beberapa sahabat kami ditahan dan diambil gambar serta cap jari. Dengarlah mereka bising-bising tapi nak cakap macam mana. Inilah ujian pertama yang telah diberikan oleh Allah kepada rombongan kami.

Kami menaiki bas terus ke Mekah. Di dalam bas kami ditemukan dengan Mutawwif kami iaitu Ustaz Alam Syah. Ustaz ini memang banyak sekali bercakap dan tak letih letih bercerita tentang kehebatan kota Mekah. Aku mendengar dengan khusuk sampai tertidur. Sedar-sedar aku terjaga bila Ustaz Alam memberitahu hendak sampai dan sudah Nampak bangunan hotel 100 bintang yang mempunyai jam yang amat besar. Dari jauh sudah kelihatan dan aku amat teruja.

Setibanya di Hotel Royal Sultan, aku meletakkan barang di bilik dan tak tunggu lama untuk terus ke lobi untuk menyertai rombongan lain mengerjakan umrah. Umrah yang pertama kali adalah humunya wajib dan seterusnya akan jatuh hokum sunat.  Menyelusuri jalan-jalan ke Masjidil Haram membuatkan aku teruja. Sekali lagi hatiku berkata.. “ Aku dah sampai Ya Allah.. aku dah sampai ni... Ya allah, aku datang ni... “

BERMIMPIKAH AKU?

Dari jauh kelihatan kubah menara Masjid Haram. Aku tergamam dan terpaku. Ya Allah, itukah yang selama ini aku saksikan di TV? Itukah selama ini yang aku selalu Nampak di dalam foto dan akhbar? Itukah yang selama ini yang diceritakan orang? Bulu roma aku tegak berdiri. Seram sejuk dan dada yang penuh dengan debaran aku mempercepatkan langkah untuk terus ke Masjid Haram.

Aku melalui pintu 1 iaitu Pintu King Abdul Aziz. Sampai sahaja masuk tersedia di sebelah kiri dan kanan ku begitu banyak bekas air zam-zam. Tanpa lengah aku terus menuju ke situ dan minum sepuas puasnya umpama tak dapat minum berhari-hari. Ya Allah, sedapnya air zam-zam ni.. Fresh dan sejuk, tidak hanyir dan tak jemu untuk meminumnya.  Inikah air yang aku dapat minum bila orang balik haji dulu?

Aku tolehkan kepala ku menuju ke kiri dan.... Ya Allah.. KAABAH!

KAABAH

Nah! Terbentang di hadapanku, yang dinamakan kiblat umat manusia di seluruh dunia. Tak dapat aku gambarkan kini aku berada di tempat dimana seluruh umat manusia sujud sembahyang dan inilah kiblatnya. Berbentuk 4 segi dan dilitupi dengan Kiswah yang bersulam benang emas membuatkan sinar Kaabah begitu ketara. Cahaya dari segenap penjuru masjid menjadikan Kaabah sebuah binaan yang pasti akan membuatkan sesiapa sahaja terpegun. Tangisan demi tangisan kedengaran kerana terlalu rindu dan meruntunnya hati untuk melihat Kaabah. Cintanya untuk melihat Kiblat manusia ini membuatkan kami seolah-oleh tidak percaya bahawa kini kami benar-benar berada di hadapannya.

Dari atas tangga aku melihat ramai manusia sedang bertawaf di Kaabah. Kalau kita nak sembahyang, sembahyang sunat di mana – mana di dunia ni pun boleh. Tapi kalau nak bertawaf, dimana lagi kalau bukan di Masjid Hara ini? Kita tak akan dapat pengalaman dan berpeluang membuat ibadat di Kaabah jika kita berada di tempat lain.

Pahala dan rahmat Allah ke atas mereka yang berbuat amal di Masjid Haram adalag sebanyak 100,000 kali ganda dan ini lah yang pasti tak akan kita dapat kalau di tempat lain. Allah memberikan rahmat sepanjang hari bagi mereka yang mengerjakan amal ibadat di Masjid ini.

Kami terus mengerjakan solat fardhu Isya’. Inilah solat pertamaku di hadapan Kaabah dan juga solat pertamaku di masjid haram. Masjid di mana Nabi Muhammad S.A.W dulu berada, dimana Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bersama membina Kaabah, tempat dimana banyak peristiwa penting dan sejarah Islam bermula. Subhanallah.

TAWAF PERTAMA

Inilah yang amat mengharukan aku. Aku akhirnya dapat membuat tawaf umrah wajib yang pertama. Masyaallah.. Aku teruja sangat ketika mengerjakan tawaf. Walaupun begitu ramai orang ketika itu tetapi aku tekad dan akan usaha untuk menghabiskan 7 pusingan tawaf ini. Aku mengikut bacaan doa-doa oleh Ustaz Kamaruddin yang setia berada bersama kami.

Seterusnya kami terus menuju ke Bukit Safa dimana Saie’ akan bermula. Kami berjalan dari bukit safa ke bukit marwah dengan badan sedkit kepenatan. Tetapi Maha Suci Allah, keajaiban telah berlaku setelah kami meminum air zam-zam yang berada di situ. Tiba-tiba dirasakan kekuatan itu datang dengan sendirinya. Bagi diri aku sendiri, oleh kerana aku terlalu banyak minum air zam zam masa masuk tadi, aku menahan rasa nak terkucil.. (huhu). Terasa macam bila air zam zam tu dah masuk dalam badan dia cuci habis semua kat dalam badan kita. Aku dah alami benda ni banyak kali sepanjang berada di tanah suci ini menyebabkan aku hanya akan minum air zam zam selepas habis waktu sembahyang. Jadi tak khusuk pulak bila menahan ‘rasa’ itu.

Ada beberapa keajaiban yang berlaku terus menerus selepas aku masuk ke dalam masjid haram. Pada awalnya kami tertinggal dengan rombongan mutawwif dimana sebaik sahaja masuk ke dalam masjid kami dalam 5 – 6 orang tak jumpa mutawwif. Dalam kekalutan sebab pertama kali masuk ke dalam masjid haram yang besar tu, aku pun berdoa pada Allah dipermudahkan urusan umrah pertama kami ini dan mohon diberikan petunjuk. Tiba-tiba salah seorang daripada kami menunjuk satu arah dimana rombongan mutawwif kami sedang sembahyang Isya’ berjemaah. Kami terus pergi dan sembahyang.

Selepas solat Isya’ tadi dalam mengejar waktu aku dan ibu ku kehilangan mutawwif dan rombongan besar tadi. Subhanallah.. Yang amat merisaukan aku ialah, umrah pertama ini perlu dibimbing kerana kalau nak ikut buku pun agak susah.  Sedang kami tercengang-cengang itu, kami terjumpa Ustaz Kamaruddin yang keseorangan (Ketua Rombongan kami). Oleh kerana Ustaz Kamaruddin ini sudah acapkali datang ke tanah suci ini kami terus mengikut beliau menunaikan umrah pertama yang hukumnya adalah wajib.  Alhamdulillah. Kami pun meneruskan membuat tawaf. Emak aku memegang erat tangan aku kerana jumlah jemaah yang tawaf kaabah itu terlalu ramai pada masa itu. Aku pun dalam khusuk dengan tidak buat tawaf ni kerana takut kehilangan ibu dan terlepas pegangan tangannya.

Akhir Saie diantara bukit safa dan marwah itu aku lihat muka Ibu hamper pucat. Mungkin sebab tak pernah exercise sebelum ini. Aku yang selalu kerap ke gym pun baru merasai bahawa cabaran mengerjakan Saie diantara Safa dan Marwah adalah melebihi 2 jam aku di tredmill di dalam gym. Begitu hebatnya tetapi dengan izin Allah dan doa yang berterusan Insyaallah semuanya akan selamat.

Untuk mengakhiri rukun umrah itu, akhirnya kami perlu bertahalul. Iaitu perlu memotong rambut sekurang-kurangnya 3 helai di atas bukit Marwah. Rambutku dipotong Ustaz Kamaruddin dan aku pula memotong rambut ibuku.

Alhamdulillah selesai sudah urusan umrah kami ini pada malam pertama itu. Bayangkan kami dalam penerbangan hamper 12 jam di atas kapal terbang dengan keletihan dan lenguh yang amat, kami perlu membuat umrah dalam keadaan tersebut. Itu merupakan satu cabaran yang tak mungkin akan aku dapat di mana-mana pun.

ZIARAH

Pada keesokan harinya kami diberikan kebebasan oleh Mutawwif untuk berehat. Tapi aku masih tak dapat rehat kerana tak dapat sesuaikan diri dengan perubahan waktu. Bayangkan aku tinggalkan KLIA pada waktu siang dan selepas hamper 16 jam masih lagi siang. Bila waktu malam di sini aku pulak jadi cergas sebab terikut dengan waktu di Malaysia. Waktu solat di Mekah pula rasanya amat rapat. Aku terasa macam mengejar masa sangat sebab setiap kali solat kami akan bergegas ke Masjid Haram. Amatlah rugi sekiranya sembahyang dalam bilik kerana bukan senang nak berada di hadapan kaabah dan sembahyang. Lepas ni bila balik ke Malaysia pasti akan merindui masanya,

Hari ke 3 kami di sini, kami dibawa untuk menziarahi beberapa tempat peninggalan sejarah Rasulullah S.A.W. Pertamanya kami singgah di Bukit Tsur. Bukit ini meupakan tempat dimana Nabi Muhammad S.A.W bersembunyi ketika penghijrahan Baginda ke Madinah bersama dengan Abu Bakar As Siddiq. Ketika bersembunyi di dalam gua itu Abu Bakar menutupi semua lubang itu dengan kain dan sebagainya tetapi ada satu lubang lagi yang tak dapat ditutup maka Abu Bakar menutup dengan kakinya. Ketika puak musyrikin mencari Baginda bila melihatkan ada sarang labah-labah yang dibuat pastinya mereka menyangkakan bahawa takkan mungkin ada orang yang boleh masuk ke dalam gua itu tanpa merosakkan sarang labah-labah itu. Maka selamatlah Baginda tetapi Abu Bakar telah disengat. Baginda Rasululullah S.A.W menyapu air liur Baginda dan sihatlah Abu Bakar.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan menuju ke Padang Arafah dimana pada musim haji, tempat ini dipenuhi oleh jemaah haji dan berdekatan dengan itu kami singgah di Jabal Rahmah. Setibanya kami di Jabal Rahmah kami dikerumuni oleh pembawa unta di situ menawarkan perkhidmatan untuk menaiki unta. Buat mereka yang dah banyak kali datang umrah ke Mekah pastinya akn berhati-hati dan buat tak tahu dengan mereka ini. Ketika aku sedang turun daripada bas itu, tangan aku ditarik dengan kuatnya untuk menaiki unta. Aku rentap tangan aku dan pergi jauh dari situ. Apabila kami menaiki bukit Jabal Rahmah itu, banyak sungguh peniaga yang menipu di atas itu hendak ambil gambar kita, hendak bagi pinjam pen untuk tulis nama di Jabal Rahmah dan sebagainya. Pada awalnya mereka akan cakap ‘Halal’ tapi lama-lama bila dah terkena mereka akan minta bayaran yang bukan-bukan. Hinggakan ada seorang makcik tu kalau ikutkan naik unta tu hanya 5 Riyal tapi bila naik atas tu mereka ambil gambar semua dan turun sahaj dari unta tu mereka minta 350 Riyal. Jadi aku cukup berhati-hati di situ walaupun akhirnya aku dan ibuku terkena juga.. Tapi 20 riyal je lah. Halal je lah..

Tak lupa ketika di jabal Rahmah aku mendoakan untuk diri aku untuk sekiranya dizinkan Allah dan itulah takdirnya maka temukan aku dan jodohkan aku dengan yang sepatutnya. Tak lupa aku turut mendoakan sabahat-sabahat aku yang lain supaya bertemu jodoh dan perkahwinan mereka yang berkekalan hingga akhir hayat.

Selepas itu kami di bawa ke Mina dan Muzdalifah dimana pada musim haji tempat ini merupakan antara rukun haji dan akan dikunjungi oleh jutaan manusia. Kami juga ditunjuk projek ERL macam di Malaysia tapi disebut Saudi Train System. Pada musim haji 2010, ianya telah pun dimulakan tetapi hanya untuk rakyat Arab Saudi. Tetapi kami diberitahu mulai 2011 jemaah haji dari mana-mana Negara boleh untuk menaiki ERL tu dari Mekah menunju ke Muzdalifah & Mina. Dengar cerita dari Mutawwif kami, Saudi sedang mengusahakan dari Jeddah ke Mekah. Inshaallah dalam hatiku berkata lepas ni bila aku buat haji mesti aku dapat rasa untuk menaiki ERL tersebut.

Akhirnya selepas itu kami singgah di Masjid Ja’ronah yang merupakan tempat Miqat yang paling afdhal kerana pada masa Rasulullullah dahulu, Baginda pernah berniat Miqat di situ untuk menunaikan umrah. Ini merupakan tanah halal yang agak jauh. Kami menyalin pakaian ihram  dan bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Kota Mekah. Niat ihram di pasang dan lafaz talbiah di baca sepanjang jalan. Pada perjalanan itu juga kami singgal di gunung gua Hira’ di Jabal Nur. Namun kami tak singgah kerana akan ke gua hira’ pada hari lain pula untuk mendaki. Rasanya kalau setakat Batu Caves tu celah gigi je rasanya. Sebab cabaran untuk naik Gua Hira’ ni rasanya tak akan didapati di mana-mana pun sebab kami menaikinya pada jam 10 malam tanpa ada lampu dan pekat malam. Akan aku ceritakan nanti.

Sampai di Masjid Haram kami menjalankan ibadat umrah dan umrah kali ke 2 ni merupakan umrah sunat dan boleh ditujukan kepada saudara mara yang telahpun meninggal dunia. Untuk kali ini rasanya perjalanannya agak lancer kerana sudah ada pengalaman sebelum ini.

KEKUATAN DALAMAN

Apa yang aku alami dan jemaah lain alami sepanjang menunaikan umrah ini pastinya merasai bahawa kekuatan melaksanakan ibadah di Masjid Haram sepanjang waktu. Kalau sembahyang darhu jemaah di Malaysia pastinya susah sebab paling besar MALAS. Tapi di sini kami mengejar waktu sampai rasanya macam tak payah balik ke hotel kerana jarak masa setiap waktu sembahyang terasa amat dekat sekali.  Contohnya seperti sembahyang fardhu di masjid haram, kita perlu berada di dalam masjid sekurang-kurangnya 2 jam sebelum masuk waktu untuk dapat kita sembahyang di hadapan kaabah dan di dalam masjid. Pernah sekali kami terlambat ketika azan telahpun dilaungkan akhirnya kami hanya sembahyang di dataran Masjid Haram di mana ianya terletak jauh di luar masjid. Bayangkan pengalaman menunaikan sembahyang fardhu di Masjid Haram dengan jemaah yang melimpah ruah tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa sembahyang jemaah fardhu yang ramai di Negara kita.  Sembahyang Jumaat di Masjid Negara pun kalah berbanding dengan sini hinggakan di jalan raya pun ada yang bersembahyang. Sedangkan jika henda digambarkan Masjid Hara mini besar dan luasnya tidak dapat digambarkan tetapi jemaah sembahyang tetap penuh dan padat setiap waktu.

Walaupun aku merasakan badan aku mungkin trak dapat menghadapi cabaran dan dugaan dalam mengerjakan umrah dan ulang alik antara hotel dan Masjid Haram tetapi aku rasakan seperti tidak ada apa apa. Begitu juga ibuku yang datang ke Mekah dengan tangan yang masih bersimen akibat jatuh di tempat kerja. Aku lihat ibu paling kuat dan sentiasa bersemangat untuk berjalan dan bangun pada seawall 3.30 pagi untuk ke Masjid menunaikan sembahyang Subuh.

SHOPPING!!

Ini merupakan tajuk yang paling aku tak suka tulis dalam travelog ini. Namun untuk tidak menunjukkan aku ni baik sangat dan hipokrit, aku tetap mengakui bahawa Mekah juga merupakan syurga membeli belah. Tapi sebenarnya barang-barang yang ada di Mekah ini pun Made In China dan sebagainya. Mana ada yang asalnya dari tanah suci ini kecuali kurma dan air zam zam. Itu sahaja. Tetapi kita ambil berkat dari barangan yang ada di jual di sini. Maka ada jugalah buah tangan yang dibeli untuk saudara mara di tanah air.

Cumanya aku terpandang satu kedai yang berada di hadapan Masjid Haram yang aku dah banned dari pada minum di situ di Malaysia sebab status halal dan syarikat yang juga dinaungi oleh golongan yahudi. STURBUCKS? Apakah?.... Hmmmm....

MIQAT TANA’IM

Pada hari ke 3 kami telah pergi bermiqat di Masjid Tana’im di mana merupakan tempat Miqat yang paling dekat iaitu dalam 7 kilometer daripada Masjid Haram. Tempat ini merupakan tempat Miqat yang ke 2 paling afdhal dan paling dekat dengan Masjid Haram.

Ketika kami di Masjid Tana’im, Ustaz Alam Syah yang merupakan mutawwif kami ada memaklumkan bahawa tempat parking bas kami di situ merupakan lokasi kepada kepala manusia di pancung ataupun apa sahaja hokum hudud yang dilaksanakan di situ. Biasanya kata mutawwif aku itu hukuman dilaksanakan pada hari Jumaat. Oleh kerana Saudi Arabia merupakan Negara Islam maka dilaksanakanlah hokum hudud di Negara ini. Aku terbayang, kalaulah hokum ini turut dilaksanakan di Negara kita mesti banyak masalah social akan berkurangan. Ye lah kalau mencuri tentu potong tangan, kalau membunuh pula si pelaku akan dihukum bunuh juga dan zina akan dikenakan hukuman rejam. Hmm... Subhanallah.. Tapi ada kata yang Negara kita adalah Negara Islam.. Tapi Islam apa? Aku pun tak arif untuk bercakap benda ni.

Selesai sembahyang sunat Ihram dan Tahyatul Masjid kami meneruskan pergi menunaikan umrah sunat di Masjid Haram.



PEMINTA SEDEKAH

Ini merupakan fenomena yang amat banyak sekali berada di Kota Mekah. Sepanjang perjalanan kami dari hotel ke Masjid Haram pastinya ada sahaja golongan peminta sedekah yang kebanyakannnya daripada wanita Rohingya. Kadang-kadang terdapat juga fenomena di mana ketika kita beri sahaja sedekah pada seorang maka akan bederet pula kawan-kawannya mengelilingi kita di luar masjid.

Di dalam masjid pula, penguatkuasa masjid yang berpakaian seperti polis pula amat mengambil berat mereka yang meminta sedekah di dalam masjid. Maka susah juga untuk melihat orang meminta-minta sedekah dalam masjid kecuali beberapa orang yang terlepas.

Apa yang diperhatikan kebanyakan jemaah suka member sedekah kepada pekerja dalam masjid haram yang cukup banyak memncuci lantai, mop lantai, mengisi air zam-zam dan sebagainya. Oleh kerana mereka ini bekerja dalam masjid ini kita mengharapkan mereka mendoakan kemurahan rezeki kepada kita.

Bila aku fikirkan kembali, alangkah bertuah mereka yang bekerja sebagai pencuci di Masjid Haram ini. JIka diberikan aku peluang pun aku sanggup nak minta kerja di sini sebagai pencuci masjid ini. Maka pastinya setiap hari aku akan melihat Kaabah di hadapanku, sembahyang di hadapan Kaabah, berdoa dan bertahmid setiap masa.

Tetapi di sini jugalah Allah akan menguji kita. Ada satu peristiwa di mana ketika ibuku di ekori oleh peminta sedekah yang berjubah hitam seperti wanita Rohingya. Sungguh jauh dia mengekori tetapi kenapa entah selalaunya ibu akan memberi sedekah tetapi kali ini tidak. Aku seperti tak sedap hati. Setelah beberapa saat wanita berjubah itu meninggalkan kami, aku berpaling ke  belakang dan.. wanita itu hilang. Aku pandang ke kiri dan kekanan tetapi tidak Nampak langsung kelibatnya. Sedangkan hanya beberapa saat sahaja dia meninggalkan kami. Subhanaallah.. Ada sedikit kekesalan di wajah ibu bila aku khabarkan tentang apa yang aku rasa dan aku lihat tadi. Jadi kami mengambil iktibar, jangan beperasangka buruk dengan sesiapa pun makhluk Allah di muka bumiNya ini kerana kita tak tahu adakah itu dugaan dari Allah.

Tiada kota yang mulia selain Kota Mekah yang sinarnya terang benderang mengelilingi bumi ini. Ya Allah aku bersyukur kerana Engkau menjemput aku datang ke sini sebagai tetamu Mu Ya Allah.


PEMANDU GILA

Apa yang aku perhatikan sepanjang berada di Kota Mekah ini tentang kegilaan pemandu-pemandu di sini untuk membunyikan hon. Ada sebab juga bila difikirkan kerana pemandu di sini memang tidak suka ikut peraturan. Jalan sehala jadi 2 hala.  Kadangkala macam tak bersalah langgar peraturan sesuka hati. Kalau sedikit sedikit tu kira boleh maaf lah. Tapi kalau dah kesalahannya amat tak boleh diterima akal tentu pening jadinya.

Ada satu malam kami dalam 16 orang jemaah disumbatkan dalam sebuah van. (Program ini bukan sebahagian daripada Andalusia Travel kerana ini adalah program sendiri) Pemandunya umpama sedang memandu di litar F1 Sepang. Sampai berlumba-lumba dengan pemandu teksi van yang lain. Simpang empat sedang merah lampunya habis dilanggar dan hamper berlanggar dengan kenderaan lain. Pada mulanya aku ingat orang muda, tetapi bila sampai di Tana’im barulah aku sedar yang memandu van itu lelaki dalam lingkungan umur 60 an.

SABAR

Dalam dunia ini kalau kita semua mengamalkan apa yang telah diajar dalam agama Islam iaitu antaranya ialah Sabar, pasti semua urusan di dunia ini akan menjadi mudah. Kadangkala oleh kerana sikap tidak sabar ini akhirnya akan memakan diri. Telah banyak diceritakan dari pelbagai kisah dari zaman Nabi hinggalah apa yang berlaku di Malaysia tentang peri pentingnya untuk kita bersifat sabar.

Di Kota Mekah terutamanya di dalam Masjid Haram, kita akan melihat fenomena tidak sabar melanda banyak orang Islam sendiri. Contoh yang paling dekat ialah apabila ingin mencium Hajarulaswad. Bukan tidak ada barisan yang dibuat untuk mencium batu tersebut. Tetapi kalau sudah berjam barisan itu tidak berjalan, apa pulak halnya. Apa yang terjadi ialah di hadapan Haraulaswad datang manusia dari segenap arah yang tak mahu sabar hanya ingin pergi merempuh semua yang ada di situ asalkan dapat memegang dan mencium Haraulaswad. Kadang-kadang kasihan melihat muslimat yang terhuyung hayang dan tertonyoh tonyoh kepalanya dengan kudrat kaum muslimin yang pastinya lebih kuat dari mereka. Kadang-kadang melompat-lompat seperti unta untuk menuju ke batu tersebut.

Bukanlah satu perkara yang wajib untuk mencium batu dari syurga itu. Cukup sekadar melambai ke arah batu itu dan mencium tapak tangan kita seolah-olah kita mencium batu tersebut. Apalah ertinya dapat mencium batu tersebut tetapi kita menyakiti manusia lain. Dalam kita nak kejar pahala, dosa pula yang kita dapat.

Begitu juga antara tempat yang mustajab untuk berdoa di Iltizam (antara pintu kaabah dan hajarulaswad). Ada yang sudah dapat peluang langsung tidak mahu diberikan kepada jemaah lain yang tertinjau-tinjau ada di situ. Kasihan juga melihat mereka yang agak kempunan untuk berada di situ. Tetapi bila kita fikir balik, Allah tidak akan menyusahkan hambaNya dengan perkara-perkara yang akan memudaratkan hambaNya. Apa yang terjadi ialah kita sendiri yang suka mencari perkara yang memudaratkan diri kita.

Ketika habis sembahyang fardhu kebiasaanya jemaah akan keluar dari masjid. Ini juga satu halnya. Jika hendak masuk waktu solat dan jemaah agak kelam kabut untuk mencari tempat dan masuk itu kita boleh faham kerana hendak mengejar fadhilat jemaah bersama Imam. Tetapi apa halnya pula bila sudah habis waktu sembahyang pun mereka bergasak-gasak mahu keluar pula. Sedangkan tidak ada apa lagi yang hendak dikejar di situ.  Walaupun kita tahu ada 96 pintu keluar di sekeliling Masjid Haram ini tetapi umpama seolah satu pintu sahaja yang ada. Ini banyak berlaku di pintu No 1 iaitu Pintu King Abdul Aziz.

Alangkah indahnya jika ada sikap sabar yang dipraktikkan dalam diri setiap muslim. Pastinya semua perkara akan menjadi mudah dan lancar tanpa ada yang terluka dan dunia pastinya akan menjadi tempat yang paling aman untuk diduduki.



ZIARAH HUDAIBIYAH
Salah satu pakej yang tidak terkandung dalam ziarah Andalusia Travel ialah ke Hudaibiah dan ladang unta dalam perjalanan ke Hudaibiyah. Kami berhenti minum susu unta dan melihat bagimana rupanya ladang unta. Ternyata amat berbeza dengan apa yang difikirkan oleh aku iaitu kandang yang ada kayu dan macam ladang kuda atau lembu di sini. Ia hanya di tengah padang pasir yang kering dan tandus dan ada lah dalam 10 ekor unta yang diletakkan dalam kandang yang hanya diikat dengan tali sahaja.

Mengikut penerangan mutawwif, unta merupakan binatang yang paling bijak di muka bumi ini. Dia boleh mengingati muka kita yang datang melawatnya walaupun sudah 1 tahun berlalu. Unta juga tidak suka jika kita manusia melihat dia mengawan. Maka dia akan kejar kita dan akan pijak kita sampai mati. Ini juga terjadi kepada penjaga unta tersebut. Sedangkan unta juga mempunyai sifat malu apalah kita yang mahu orang melihat kita melakukan maksiat seperti video clip telefon. Jadi manakah jatuhnya taraf kita manusia yang lebih rendah dari unta?

Susu unta boleh membuat seseorang itu awet muda jika sapu di muka dan seluruh jerawat, jeragat dan penyakit muka lain akan sembuh. Aku pun letak juga di muka ku untuk baiki muka dan jerawat. Tapi nak putih tu tak lah sebab dah memang azali aku ni kulit gelap. Cuma aku tak minum sangat susu unta. Sebab susu lembu yang fresh baru lepas perah pun aku tak minum apatah lagi unta ni. Tapi sebab khasiat dia banyak terutamanya akan mencerdaskan otak itu yang membuat ramai orang membelinya dengan harga 5 riyal satu botol. Baru lepas perah dari perut unta tu dan terus kita ambil beli. Memang sangat fresh!

Unta ni jika aku boleh cakap antara binatang yang paling hendsome sekali lah yang pernah jumpa. Bila lihat lama-lama benarlah binatang ni mempunyai banyak istimewanya hingga namanya disebut di dalam Al Quran dan banyak juga mempunyai kaitan dalam sejarah para anbiya’.

Kami meneruskan perjalanan ke HUdaibiyah yang tidak jauh sahaja dari situ. DI situlah aku melihat tinggalan masjid dimana perjanjian Hudaibiyah yang bersejarah telah dibuat. Di masjid ini lah para sahabat Rasulullah berbai’ah pada Rasulullah untuk sehidup semati dengan Rasulullah. Ini juga berikutan di mana satu tahun itu, Rasululullah dan sahabat tidak dibenarkan masuk ke Kota Mekah dan hanya dibolehkan masuk ke Mekah pada tahun berikutnya selama 3 hari sahaja. Perjanjian yang berat sebelah itu diterima Rasulullah dengan penuh kesabaran sedangkan para kaum muslimin telah berang. Tentunya perjalanan selama 3 minggu dari Madinah ke Mekah yang agak penat dan tidak dibenarkan masuk ke Mekah membuatkan kaum muslimin marah. Tetapi Rasulullah dengan sifat sabarnya yang terpuji telah melembutkan hati muslimin yang lain.

Hanya yang tinggal di sini adalah sisa runtuhan batu dan kami diberitahu bahawa ianya akan dirunmtuhkan untuk dibuat projek jalanraya. Aku sedikit tidak percaya dengan tindakan kerajaan Arab Saudi yang tidak memelihara tinggalan sejarah. Ini adalah satu tempat dan monumen yang amat penting dan bersejarah.

Kami berihram di Masjid Hudaibiyah yang baru dan berniat umrah di miqat itu. Dann meneruskan perjalanan pulang tetapi singgah pula di Muzium 2 Masjid Suci. Di muzium ini bersebalahan dengan kilang membuat kiswah Kaabah. DI dalam muzium itu kami diberkati Allah dengan dapat melihat semua monumen asal yang sepatutnya ada di Masjid Haram tetapi telah dicabut kerana melebarkan Masjid Haram. Antaranya ialah pintu gerbang Kaabah yang diperbuat daripada kayu yang berusia ribuan tahun. Begitu juga dengan tiang penyokong Kaabah yang asalnya dari kayu turut diletakkan di situ. Kini tiang batu marmar lah yang menyokong Kaabah.  Aku juga terpegun bila melihat binaan sebenar telaga zam zam. Kini di Masjid Haram kita tak akan Nampak telaga zam zam kerana telahpun di tutup di bawah marmar sepenuhnya di tempat tawaf Kaabah. Cuma jika kita tanya Ustaz di mana lokasi sebenarnya, maka akan ditunjukkan. Di situ adalah tempat yang antaranya paling mustajab untuk berdoa. Tapi di situ memang selalunya ada polis Masjid Haram yang jaga dan akan suruh semua orang berlalu.

Banyak sungguh binaan yang ada seperti pintu asal Kaabah, kunci Kaabah, pintu kepada makam Nabi Muhammad S.A.W di Madinah dan banyak lagi. Aku rasa amat diberkati kerana berada di sini. Memang tak rugi membayar lebih untuk melihat monumen-monumen penting ini beirikutan ianya tiada dalam pakej asal Andalusia Travel.

Kemudian kami meneruskan ke Kota Mekah dan menunaikan umrah yang ku kira sebagai yang terakhir untuk ziarah umrah ku kali ini ke Kota Mekah. Oh ya, Umrah boleh dibuat sebanyak mana yang kita mampu sepanjang ada di Mekah. Ada yang mampu hingga 7 kali. Malah ada yang sampai 9 hari penuh sepanjang di Mekah. Cuma yang perlu difikirkan adalah kudrat diri untuk membuat umrah.



AL JAZEERA & INTERNET

JIka kita buka TV di Mekah ini hanyalah siarah Al Jazeera dan siaran Live dari Masjid Haram seperti CCTV lagaknya tapi jelas dan audionya hanyalah ayat-ayat suci Al Quran. Kebetulan ketika berada di sini Al Jazeera hanya menayangkan pergelokan di Libya. Walaupun aku tak faham bahasa Arab tetapi melalui berita itu aku boleh agak tentunya ada pergolakan yang hebat di Libya.

Apa yang buatkan aku tak tahu semua perkara tentang dunia ialah di hotel aku tiada liputan WIFI. Aku perhatikan liputan WIFI di Mekah tidak seperti di Malaysia yang ada di mana-mana dan percuma pula. Di sini aku lihat tidak ada WIFI yang percuma seperti di Malaysia dan jika ada pun di hotel bersebelahan yang meminta password dan harus dibeli untuk mendapatkannya.

Manakala harga untuk mendapatkan simcard sahaja ialah 50 riyal dan itu belum termasuk nilai prabayarnya. Jadi aku mengambil keputusan memutuskan diri dari dunia luar selama 2 minggu aku berada di Mekah dan Madinah. Mungkin selama ini aku memang tidak boleh berenggang dengan Internet di Malaysia terutamanya dengan telefon Blackberry aku, jadi kiranya ku anggap satu ujian bagi aku untuk melupakan sebentar semua tentang dunia luar supaya aku boleh fokus sepanjang berada di tanah suci. Mungkin juga hati aku akan terganggu jika ada perkara-perkara yang mengganggu emosi sekiranya aku berhubung dengan dunia luar yang amat menggila itu.

BAHASA

Rasanya aku amat bertuah menjadi orang Malaysia sepanjang berada di Mekah. Sungguh arif mereka ini dengan bahasa Malaysia hinggakan aku tak perlu bercakap dalam bahasa Inggeris. Kadang-kadang merekasendiri tak faham bahasa Inggeris sebaliknya mereka faham bahasa Melayu.

Ini amat nyata pada peniaga di sini yang sentiasa akan menjerit “MALAYSIA BAGUSS!”. Dan yang aku rasa nak tergelak itu bila ada peniaga yang bila berborak dengan aku menuturkan ayat ini “MAHATHIR BAGUS! DUIT NAIK! BADAWI TAK BAGUS.. DUIT TURUN.. NAJIB, TAK BAGUS.. DUIT TURUN!”.. Hahaha.. Arif pulak mereka ini dengan politik dan ekonomi Malaysia. Tak pulak lah aku nak membertulkan persepsi peniaga ini. Itu pandangan orang luar. Seperti juga kita bila melihat Negara lain dan boleh member persepsi yang berbeza.

Jemaah Malaysia adalah antara jemaah yang paling ramai sekali di Kota Mekah dan boleh Nampak di mana-mana sahaja. Jadi tidak mustahil banyak dari penduduk Mekah boleh menuturkan bahasa Melayu dengan agak baik.

[BAHAGIAN KE 2 AKAN MEMAPARKAN PENGALAMAN MENDAKI GUNUNG HIRA' YANG AMAT MENAKJUBKAN, PENGALAMAN PERJALANAN KE MADINAH, MASJID NABAWI, KEKAGUMAN TERHADAP MAKAM RASULULLAH, HATI YANG TERAMAT HIBA KETIKA DI MEDAN PERANG UHUD DI TEMPAT SAIDINA HAMZAH USAIDULLAH SYAHID, KESAN TAPAK KAKI RASULULLAH DAN BANYAK LAGI. INSHAALLAH]

0 comments:

Post a Comment