ANTARA LILIN DAN LAMPU NEON

, , No Comments

ANTARA LILIN DAN LAMPU NEON

Mengeluh, mengeluh dan mengeluh. Antara bunyi bunyian umpama langau yang menghurung makanan yang busuk. Itulah yang boleh saya katakan dengar setiap hari dari kalangan kawan kawan, jiran mahupun ketika naik LRT dan juga di kedai makan. Mengeluh umpama zikir yang digantikan disulami dengan cercaan dan sindiran tajam ditambah dengan fitnah rangkaian dari mulut ke mulut mengalahkan kabel fiber optik yang menghantar data dalam dunia Internet.

Tentulah saya bercakap tentang keluhan mengenai ekonomi, hidup yang susah dan terbeban serta betapa tidak adilnya dunia bila yang kaya bertambah kaya dan miskin bertambah miskin. Rasanya bukan sekali dua saya menegur tentang tidak elok mengeluh setiap hari bimbang Allah akan ketegorikan kita sebagai kufur nikmat. Tapi tak pula saya lihat mereka mengambil langkah untuk memajukan diri mereka. Saya sendiri pernah disindir gara gara menyambung pelajaran di peringkat Ijazah dan Sarjana dalam bidang Media dan Komunikasi sedangkan pekerjaan saya dalam bidang ekonomi dan kewangan. Selalu juga saya terangkan pada mereka bahawa saya belajar bukan untuk naik pangkat tetapi untuk mengetuk potensi diri dan menjadi seorang yang mahir dalam bidang media dan komunikasi.

Banyak kali juga melalui penulisan dan juga perkongsian idea di dalam sesi bual bicara saya tidak berkira untuk menyertainya tanpa sebarang bayaran. Mungkin saya sudah terbiasa bergerak dalam NGO sejak dari dahulu lagi membuatkan saya rasa tiada kebahagiaan dan keindahan dalam hidup ini selain daripada membantu manusia lain dan menyampaikan buah fikiran. Untung untung nanti bisa menjadi panduan kalau tak banyak, sebesar zarah mungkin.

Lilin yang dinyalakan api membakar diri. Tapi tak salah kalau menggunakan lampu neon untuk menerangi hidup orang lain. Kalau sudah punyai alternatif apa guna lilin lagi. Tapi langit tak selalu cerah, lilin juga perlu disimpan rapi di satu tempat supaya satu hari nanti bila elektrik tiada ataupun lampu neon terbakar, masih ada lilin untuk menerangi diri dan orang lain.

Terpulang pada kita.. Mahu memberi, menerima atau melihat sahaja. #pafi #amalirdausi

Hamli Hamdan

0 comments:

Post a Comment